SME Bank XCESS 2022 platform bantu PKS berkembang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SME Bank XCESS 2022 platform bantu PKS berkembang

KUALA LUMPUR 29 Julai – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mencari penyelesaian mengenai keperluan pembiayaan dan pembangunan perniagaan kini boleh mendapatkan pelbagai pilihan lengkap di SME Bank XCESS 2022, acara padanan perniagaan nasional berbentuk hibrid yang akan diadakan pada 11 Ogos ini.

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, program padanan perniagaan tahunan itu berbeza daripada edisi sebelumnya dengan kehadiran rakan perdagangan dan PKS antarabangsa yang turut menyertai program kali ini.

 

“Menerusi program ini, PKS tempatan akan dapat berhubung dan meneroka secara langsung dengan mereka mengenai kemungkinan untuk menjadi pembekal, pengimport atau rakan kongsi perniagaan. 

 

"Usaha ini dijangka dapat mewujudkan jangkauan pasaran yang lebih luas untuk usahawan kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

sme bank

 

 

SME Bank XCESS 2022 menawarkan peluang kepada peserta untuk mendapatkan akses kepada pelbagai pakej pembiayaan daripada SME Bank serta agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, penyertaan dalam Program Umbrella SME Bank, Program Pembangunan Vendor, Assets Link, Perkhidmatan Takaful dan HalalXcess.

 

Selain itu, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) anak syarikat milik penuh SME Bank akan turut menawarkan pelbagai program pembangunan yang dibentuk untuk menyokong pertumbuhan PKS di negara ini. 

 

Sehingga kini, CEDAR telah melatih dan membimbing 68,599 orang peserta dalam pelbagai program latihan keusahawanan.

 

SME Bank XCESS 2022 terbuka kepada semua usahawan. Disebabkan kapasiti terhad, kehadiran fizikal adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ dan tiada had untuk peserta dalam talian. -DagangNews.com