KUALA LUMPUR 14 Dis - Keputusan kerajaan untuk menyemak semula pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Bhd. (DNB) mampu mengurangkan masalah ketirisan dalam projek berkenaan, demikian menurut AmInvestment Bank Research.
Penganalisisnya, Muhammad Afif Zulkaplly berkata, penjimatan kos daripada langkah yang diambil itu boleh mengalir kepada syarikat telekomunikasi.
"Mengenai rancangan kerajaan untuk mengkaji semula penggunaan rangkaian 5G DNB, kami mengambil pendirian positif terhadap sebarang kemungkinan semakan semula akan mengurangkan ketirisan dalam kontrak yang diberikan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dilantik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berkata, kerajaan sudah mengarahkan supaya semua perjanjian berhubung projek pelaksanaan 5G di seluruh negara disemak semula memandangkan pelaksanaan perjanjian projek berkenaan tidak dilaksanakan secara telus.
Anwar sebelum ini pernah menggesa supaya isu berkaitan pelaksanaan 5G oleh DNB dibahaskan di Dewan Rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaan inisiatif kerajaan itu perlu diperincikan bagi memastikan ketelusan dari segi kos dan syarikat pelaksana pembangunan infrastruktur itu tidak dipertikai kelak.
Ini berikutan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dilaporkan berkata, pelantikan DNB bagi pelaksanaan teknologi internet 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan tanpa melalui perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia terlebih dulu.
DNB, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan untuk membangunkan teknologi 5G, komited mempercepat jadual melancarkan liputan 5G kepada 80% kawasan berpenduduk menjelang 2024.
Sehubungan itu, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan penarafan semula bergantung kepada penerimaan positif pengguna terhadap pelancaran produk 5G dan kemelesetan global adalah lebih rendah daripada jangkaan.
Dengan selesainya penggabungan, entiti gabungan Digi-Celcom akan memiliki 25% pegangan ekuiti dalam DNB, manakala TM dan YTL Communications akan memegang 20% dengan baki 35% dipegang
Kementerian Kewangan.
Bagi caj kapasiti borong 5G, komitmen minimum entiti yang digabungkan akan menjadi nilai gabungan Celcom dan Digi kerana perjanjian akses telah ditandatangani sebelum penggabungan selesai.
Sebelum ini, lima syarikat telekomunikasi, iaitu Digi, Celcom, YTL Communications, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM), yang menandatangani perjanjian akses itu komited kepada komitmen kapasiti minimum 800Gbps sebulan, yang diterjemahkan kepada yuran borong sebanyak RM288 juta setahun.
Menurut Muhammad Afif, prospek 'neutral' dikekalkan memandangkan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi daripada caj kapasiti borong tahunan 5G tetap DNB terhadap syarikat telekomunikasi berkemungkinan lebih daripada mengimbangi permintaan data yang meningkat.
"Walaupun penggabungan dua pengendali selular utama boleh membantu mengurangkan persaingan, namun, prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan tekanan inflasi yang berterusan boleh menekan kemampuan pelanggan.
"Perubahan mendadak sentimen pengguna yang negatif disebabkan inflasi yang berterusan dan kebimbangan kemelesetan boleh menyebabkan kami menurunkan penarafan terhadap sektor ini," jelasnya. - DagangNews.com








