Sektor teknologi berdepan ketidaktentuan makro, AmInvestment turunkan penarafan kepada 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor teknologi berdepan ketidaktentuan makro, AmInvestment turunkan penarafan kepada 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Dis - AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan sektor teknologi kepada 'neutral' daripada 'overweight' sebelum ini dan lebih selektif untuk memberi saranan 'beli' terhadap syarikat di bawah liputannya. 

 

Ini menyaksikan hanya tiga sahaja syarikat di bawah liputannya mempunyai saranan 'beli' iaitu Inari Amertron Bhd., Pentamaster Corp. Bhd. dan VS Industry Bhd. dengan nilai wajar masing-masing pada RM3.72, RM4.64 dan RM1.05 sesaham. 

 

Menurut firma itu, ia lebih teliti dalam memberi penilaian berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran makroekonomi, fokus kepada nama berkualiti dengan tahap nilai kontrak yang baik dan risiko lebih rendah untuk penurunan nilai secara berterusan.

 

"Semakan semula sektor bagaimanapun bergantung kepada sejauh mana tahap kemelesetan global yang akan berlaku dengan tanda-tanda menunjukkan inflasi semakin perlahan.

 

"Malah, sekatan pergerakan yang lebih lama di China dan kelembapan ekonomi global yang lebih buruk daripada jangkaan akan menjadi pemangkin kepada semakan menurun sektor ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi Inari, ia melihat kedudukan tunai syarikat itu yang kukuh berjumlah RM2 bilion setakat September 2022, mencerminkan 20% daripada permodalan pasaran. 

 

Prospek jangka panjang kumpulan itu didorong daya tahan pendapatan frekuensi radio dan marginnya disebabkan kerumitan cip yang lebih tinggi dalam peranti 5G dengan rancangan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan aliran hasil melalui usaha sama di China.

 

 

inari

 

 

Pentamaster turut menjadi pilihan AmInvestment memandangkan prospek kukuhnya disokong usaha kepelbagaian portfolio dan memperluaskan pangkalan pelanggan.

 

Di bawah segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), hanya VS Industry diberi saranan 'beli' memandangkan kumpulan dijangka menyaksikan trajektori pertumbuhan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23) apabila masalah buruh dan gangguan rantaian bekalan berkurangan.

 

Menurut AmInvestment, Ssktor semikonduktor tempatan berdepan kekurangan pekerja mahir dan ini menimbulkan cabaran utama jika industri mahu terus berinovasi dan mendahului pesaing serantau.

 

Namun, katanya, syarikat mengambil langkah proaktif seperti bekerjasama dengan institusi akademik tempatan dan mengendalikan akademi latihan miliknya untuk memerangi masalah tersebut.

 

"Sektor EMS sebelum ini mengalami persepsi negatif berikutan amalan buruh paksa/tidak beretika.

 

"Bagaimanapun, kami percaya pemain tempatan lebih berhati-hati terhadap isu ini dan memberi perhatian yang tinggi terhadap sebarang kemungkinan pelanggaran," jelasnya. 

 

Firma itu berkata, di sebalik penurunan harga saham, masih terdapat potensi pertumbuhan pendapatan jangka pendek semikonduktor yang akan dihadkan oleh potensi kelembapan aktiviti ekonomi dan inflasi global yang berterusan menjejaskan permintaan untuk produk akhir.

 

"Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS akan terus menyebabkan kelemahan pendapatan syarikat," katanya. - DagangNews.com