Sektor penerbangan kembali pulih mulai separuh kedua 2022, MAHB paling 'untung' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penerbangan kembali pulih mulai separuh kedua 2022, MAHB paling 'untung'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 April - Penangguhan pembukaan semula sempadan negara dan syarat kemasukan pelancong yang tidak konsisten kemungkinan menjejaskan pemulihan kukuh bagi sektor pelancongan dalam tempoh terdekat, menurut Kenanga Research.

 

Bagaimanapun, penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon menjangkakan sektor penerbangan akan kembali pulih secara berperingkat mulai separuh kedua 2022.

 

Katanya, sekatan perjalanan yang dilonggarkan di samping pengurangan keperluan kuarantin dan prosedur ujian yang lebih baik akan menyokong peningkatan semula sektor tersebut dengan kukuh pada suku akan datang.

 

"Kerajaan Thailand telah menyambung semula skim perjalanan bebas kuarantin mulai 1 Februari lalu dan mengurangkan syarat kemasukan mulai 1 Mac 2022. 

 

"Sementara itu, pembukaan semula Filipina kepada pelancong antarabangsa yang diberi vaksin sepenuhnya tanpa kuarantin juga menyumbang kepada faktor positif," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

mahb

 

 

Pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April lalu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibuat bersandarkan kepada 3 perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

 

Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 2 hari sebelum berlepas serta ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

 

Ping Khoon berkata, langkah Malaysia membuka semula sempadan kepada pengembara yang sudah menerima vaksin lengkap dari semua negara adalah positif kepada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

 

"Ini membolehkan MAHB memanfaatkan pemulihan daripada asas rendah yang dijangka kukuh untuk perjalanan udara dengan permintaan domestik kembali pulih kepada 60% daripada tahap sebelum pandemik," tambahnya. 

 

Dalam laporan tahun kewangan 2021 (FY21), MAHB merekodkan prestasi yang memenuhi jangkaan firma tersebut manakala Capital A Bhd. (dulu dikenali AirAsia Group Bhd.) berada di bawah jangkaan. 

 

"Rentetan kerugian yang dialami kumpulan sepanjang 2 tahun lalu, ia akan berakhir apabila melangkah ke separuh kedua 2022, terutama dengan kelonggaran sekatan perjalanan dan pembukaan sempadan," katanya. 

 

 

airasia

 

 

Ini membolehkan Kenanga Research mengulangi pandangan 'outperform' terhadap MAHB dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM7.65 daripada RM7 sebelum ini, yang juga merupakan pilihan utamanya bagi sektor penerbangan.

 

Semakan itu berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 25x bagi anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY23 berikutan keyakinan yang diperbaharui terhadap sektor penerbangan.

 

"Perjanjian Operasi (OA) yang belum ditandatangani juga boleh menjadi pendorong penarafan semula untuk MAHB. 

 

"Kami percaya OA baharu ini adalah lebih mesra pelabur dan mewujudkan hala tuju pembangunan jangka panjang yang mampan untuk MAHB yang telah terjejas akibat COVID-19 dari segi pertumbuhan trafik penumpang di Malaysia dan Turki," katanya.

 

Sementara itu, ia mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Capital A dengan TP dinaikkan kepda 74 sen daripada 65 sen sebelum ini berdasarkan gandaan PER daripada 14x kepada 16x, bagi EPS FY23.

 

"Dengan operasi syarikat penerbangan yang lebih ringan dan dioptimumkan, dan apabila lebih banyak sekatan berkurangan, kami menjangkakan momentum jualan semasa dan aliran tunai yang dikurangkan akan berterusan hingga 2022.

 

"Menerusi pelbagai langkah pengumpulan dana, kumpulan telah mengumpul lebih daripada RM2.5 bilion dalam tempoh 2 tahun lalu," jelasnya. -DagangNews.com