KUALA LUMPUR 5 April - Sektor hartanah bagi tahun ini masih mencabar terutama dipengaruhi dengan isu berkaitan kemampuan, dasar dan lebihan bekalan.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen berkata, walaupun angka jualan yang direkodkan pemaju semakin meningkat, tetapi ia masih sukar untuk memacu jualan bagi 2022.
Ini kerana katanya, pembeli tidak dapat menikmati penjimatan melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sudah berakhir 31 Disember lalu dan juga jangkaan kenaikan kadar faedah berikutan situasi lebihan bekalan yang berterusan.
"Pada masa sama, unit rumah tidak terjual dalam edaran yang masih tinggi dan penurunan indeks harga perumahan (HPI) adalah petunjuk bahawa pemaju akan mendapati ia semakin mencabar untuk memacu jualan di samping mengekalkan margin.
"Oleh itu, kami menjangkakan keseluruhan jualan bagi syarikat pemaju di bawah liputan kami akan menurun 13% tahun ke tahun kepada RM16.75 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.
Malah, beliau juga mendapati, sasaran jualan yang ditetapkan syarikat pemaju agak optimis di sebalik ketidaktentuan yang semakin meningkat.
"Walaupun sasaran jualan sedemikian bukanlah mustahil, tetapi, kami percaya ia akan mengorbankan margin," tambahnya.
Syarikat pemaju di bawah liputannya merekodkan jualan yang kukuh pada musim laporan kewangan 2021 (FY21) terutamanya didorong kadar faedah yang rendah dan insentif di bawah HOC.
Secara kumulatif, ia merekodkan jualan sebanyak RM19.3 bilion lebih tinggi berbanding sebelum tercetusnya pandemik (FY18 dan FY19) terutamanya didorong pertumbuhan jualan menerusi Eco World Development Group Bhd., Sunway Property Bhd., IOI Properties Group Bhd., Mah Sing Group Bhd. dan UEM Sunrise Bhd.
Joe Shen berkata, walaupun pandemik membolehkan pemaju mengurangkan asas kos dari segi pemasaran dan pentadbiran, tetapi tekanan margin akan meningkat pada tahun kewangan 2022 (FY22).
"Ini disebabkan kontrak berharga tetap yang diberikan pada FY21 (dan berpotensi untuk baki FY22) yang akan merangkumi kos bahan binaan yang lebih tinggi dan buruh, yang diterjemahkan kepada margin pemaju yang lebih rendah.
"Bagi mengatasi situasi ini, sesetengah pemaju menggunakan pelbagai strategi untuk membendung kenaikan kos bahan binaan," jelasnya.
Di samping itu, katanya, jangkaan kenaikan kadar faedah tahun ini disebabkan oleh peningkatan inflasi akan menyebabkan kos faedah yang lebih tinggi kepada pemaju.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah bagi tahun ini. - DagangNews.com








