KUALA LUMPUR 8 Dis - Scientex Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM102.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2021, meningkat 11.2% berbanding RM92.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah ini turut meningkat 15.7% kepada RM928.2 juta dalam tempoh tersebut daripada RM802.3 juta dipacu permintaan kukuh menerusi pembungkusan produk dan jualan rumah mampu milik.
Bahagian pembungkusan kekal penyumbang utama pendapatan sebanyak RM678.1 juta, berkembang 16.2% daripada RM583.8 juta, berikutan jualan kukuh daripada pembungkusan produk pelanggan dan perindustrian dalam pasaran domestik dan eksport.
Sementara itu, bahagian hartanah pula merekodkan pendapatan sebanyak RM250.1 juta, meningkat 14.5% daripada RM218.4 juta didorong pembayaran yang stabil menerusi projek-projek yang sedang berjalan dan kadar pengambilan yang baik dalam pelancaran baharu hartanah di Johor dan Pulau Pinang.
Pada masa sama, beberapa projek yang telah siap di Rawang, Selangor dan Durian Tunggal, Melaka turut menyumbang kepada perolehan lebih baik bagi segmen tersebut.
Mengulas mengenai prestasi kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Peng Jin dalam kenyataan berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan model perniagaan teras kumpulan menerusi pembangunan hartanah dan pembungkusan.
Katanya, untuk mencatat pertumbuhan mampan, kumpulan mengekalkan pengembangan dari segi kapasiti dan keupayaan kedua-dua bahagian tersebut bagi mengukuhkan kedudukan dan kepimpinan dalam pasaran.
"Kami meneruskan Strategi Pembangunan Merentasi Sempadan terhadap bahagian pembangunan projek hartanah dengan pelancaran baharu projek sulung di Jasin, Seremban, Cheras, Sungai Dua dan Sungai Petani bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
"Selain itu, kami juga mengembangkan kedua-dua operasi pembungkusan industri dan pengguna di pelbagai lokasi dan untuk meningkatkan keupayaan kami dalam membangunkan dan melaksanakan lebih banyak inovasi untuk penyelesaian pembungkusan termasuk produk nilai tambah dan mampan," jelasnya. - DagangNews.com








