KUALA LUMPUR 27 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat kerajaan hari ini adalah sentiasa meletakkan belia sebagai salah satu keutamaan, dengan penyediaan peluang pekerjaan yang baik kepada golongan itu.
Ismail Sabri menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata, beliau gembira makin ramai para belia mendapat pekerjaan pada tahun ini, bukan sahaja dari penganjuran Jamin Kerja Keluarga Malaysia malah juga melalui Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BN) 2022.
"Hasrat kerajaan hari ini adalah sentiasa meletakkan belia sebagai salah satu keutamaan, dengan penyediaan peluang pekerjaan yang baik kepada belia.
"Saya gembira makin ramai para belia mendapat pekerjaan pada tahun ini, bukan sahaja dari penganjuran Jamin Kerja Keluarga Malaysia malah juga melalui Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair Malaysia," katanya.
Katanya, beliau mengucapkan syabas dan selamat maju jaya buat belia Keluarga Malaysia yang telah mendapat pekerjaan melalui Karnival Kerjaya Belia BN 2022.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah melaksanakan karnival kerjaya sejak Oktober 2021 sebagai sokongan bagi menjamin kelangsungan Keluarga Malaysia memiliki kehidupan yang baik selepas pandemik COVID-19.
Pada tahun ini sahaja, kerajaan menyasarkan peluang pekerjaan sehingga 600,000 dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, katanya.


Perdana Menteri berkata, mengikut Laporan Tenaga Buruh Malaysia, DOSM, seramai 2,750 graduan telah berjaya ditempatkan melalui Program Peningkatan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP).
Selain itu, seramai 2,479 belia juga berjaya ditempatkan melalui Insentif Pekerjaan Jamin Kerja khusus untuk perantis melalui Skim Perantisan Nasional (SPN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan, dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi-agensi di bawah tiga kementerian ini.



“Sehingga 8 Mei lepas, MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) berjaya menempatkan seramai 649 peserta daripada 3,596 pemohon termasuk belia dalam pekerjaan teknologi dan perkhidmatan digital.
“Selain itu, sehingga 30 April lalu, seramai 2,060 graduan telah ditempatkan di bawah inisiatif Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bagi pelaksanaan program peningkatan kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan,” katanya. - DagangNews.com








