Sarawak sasar lonjakan jualan 20% daripada pasaran Eropah, ketengah destinasi eko-pelancongan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak sasar lonjakan jualan 20% daripada pasaran Eropah, ketengah destinasi eko-pelancongan

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bergambar di Pavilion Sarawak bersama (dari kiri) Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; isteri Abdul Karim, Datin Seri Zuraini Abdul Jabbar; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, diiringi penari kebudayaan dari Sarawak.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 20% bernilai RM10.5 juta daripada pasaran Eropah untuk tahun 2023 dan seterusnya.

 

Ini adalah susulan kejayaan STB dan rakan dagangnnya meraih 52 potensi bisnes baharu di pameran perdagangan pelancongan terbesar di dunia, International Tourismus Borse (ITB) Berlin, katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pameran yang sama, STB juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tischler Reisen AG untuk usaha sama mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi eko-pelancongan terkemuka di rantau Asean.

 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Pavilion Sarawak mencerminkan kesungguhan memacu pelancongan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negeri.

 

“Tahun ini, Sarawak menyasarkan kedatangan tiga juta pengunjung memandangkan pelancongan antarabangsa terus pulih daripada pandemik Covid-19

 

 

mou

 

 

Ini merupakan satu pencapaian yang optimistik bagi Sarawak, dengan pertumbuhan lebih 800% dari aspek pendapatan pelancongan pada tahun 2022 yang telah mencatatkan hampir RM4 bilion, berbanding RM500 juta bagi tahun 2021,” ujar beliau.

 

Tambahnya lagi, festival memainkan peranan penting kepada industri pelancongan Sarawak, di mana Rainforest World Music Festival (RWMF) amat dikenali di peringkat antarabangsa dan langkah proaktif diambil untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar.

 

“Sarawak telah mengambil langkah proaktif agar RWMF sentiasa dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta memastikan aspek kemampanan dan mesra alam menjadi keutamaan dalam pelaksanaannya,” katanya.

 

Dalam kenyataan yang sama, pakej eko-pelancongan berasaskan komuniti turut ditawarkan seperti Nanga Sumpa di Batang Ai agar pengunjung boleh mendalami gaya hidup pelbagai suku kaum negeri itu sekali gua membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.

 

STB berkata mereka terus mengambil langkah mengetengahkan Pelancongan Bertanggungjawab (Responsible Tourism) agar ekosistem pelancongan negeri itu mengambil berat aspek pemeliharaan alam sekitar.

 

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), STB telah berusaha mendukung konsep kebertanggungjawaban ke atas individu, bisnes dan kerajaan bagi mencapai impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang positif terhadap pelancongan, katanya. -DagangNews.com