Salcon raih 2 anugerah emas AIRA 2021 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Salcon raih 2 anugerah emas AIRA 2021

KUALA LUMPUR 5 April - Salcon Bhd. meraih 2 anugerah emas pada majlis Asia Integrated Reporting Awards (AIRA) bagi Laporan Bersepadu Terbaik Asia (Pertama Kali) 2021 dan Laporan Bersepadu Terbaik Asia (PKS) 2021.

 

Pengarah Urusan Salcon, Datuk Eddy Leong berkata, syarikat berbesar hati dengan kemenangan ini yang mencerminkan komitmen kumpulan untuk meningkatkan nilai korporat dengan melibatkan diri secara aktif dengan pelabur dan pihak berkepentingan.

 

"Melalui laporan bersepadu kami, ia dapat membantu pelabur dan pihak berkepentingan kami meluaskan pemahaman mereka tentang syarikat dan cara kami mencipta nilai dengan cara yang mudah difahami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis anugerah itu yang diadakan secara maya dihadiri lebih 250 pemimpin kanan perniagaan dan pengamal kemampanan dari 16 buah negara. 

 

Bagi penganjuran tahun ke-7 ini, AIRA menerima 94 penyertaan dari 8 negara merentasi 8 kategori anugerah.

 

Selepas penilaian awal, 25 syarikat dari 6 negara ke peringkat akhir yang menyaksikan 12 pemenang meraih 21 anugerah emas, perak dan gangsa.
 

 

AIRA mengiktiraf minat pelabur yang semakin meningkat dalam penciptaan nilai perusahaan. Pelaporan bersepadu dapat membantu syarikat meningkatkan kemampanan jangka panjang dalam model perniagaan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan CSWorks dan pengasas AIRA, Rajesh Chhabara berkata, Salcon telah mempamerkan daya kepemimpinan dalam laporan bersepadu. 

 

"Dengan contoh amalan terbaik, laporan bersepadunya menunjukkan cara ia menggunakan pemikiran bersepadu dan pendekatan pelbagai modal untuk mencipta nilai bagi pemegang saham dan pihak berkepentingan dari semasa ke semasa," katanya. -DagangNews.com