KUALA LUMPUR 13 Jan - Masalah rumah tidak terjual masih kekal tinggi sekali gus akan mewujudkan persaingan harga dan tekanan kepada unit baharu yang akan dilancarkan, demikian menurut Kenanga Research.
Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam laporan terkini pada suku ketiga 2022, terdapat pengurangan unit dalam edaran (termasuk lebihan bekalan dan unit tidak terjual di bawah pembinaan) daripada paras tertinggi yang direkodkan pada 2021.
Bagaimanapun, penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, laluan pemulihan masih lagi jauh kerana unit dalam edaran masih agak tinggi berbanding tahap tertinggi dalam sejarah setakat ini.
"Ini akan menyebabkan berlakunya persaingan dari segi harga dan memberi tekanan kepada pelancaran unit baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Mengambil kira faktor ini, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah yang turut dibelenggu langkah berhati-hati bank dalam memberi pinjaman.
Selain itu, sektor ini masih dibelenggu dengan masalah kemampuan pembeli ekoran kenaikan kos faedah manakala kos pembinaan melambung tinggi.
Pada masa sama, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia juga kekal tinggi sekitar 85% pada separuh pertama 2022.
Joe Shen berkata, kebimbangan utamanya pada 2023 ialah paras hutang bersih pemaju yang tinggi dengan aliran tunai yang ketat, diburukkan lagi oleh kadar faedah tinggi.
"Kami menjangkakan persekitaran operasi yang mencabar bagi syarikat pemaju pada tahun ini, menerima tempias daripada trend industri yang kurang menggalakkan pada 2022.
"Ini termasuklah harga rumah yang rendah seperti yang dilihat dalam indeks harga rumah yang lemah menguncup suku ke suku pada suku ketiga di sebalik kenaikan kos tanah dan pembinaan," jelasnya.
Namun, dari sudut positif, beliau mendapati harga untuk rumah teres adalah satu-satunya subsegmen yang menunjukkan pertumbuhan ketara manakala harga rumah bertingkat tinggi dan berkembar sama ada menurun atau hanya meningkat sedikit. - DagangNews.com








