Ringgit cecah paras tertinggi 10 bulan sejak April 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit cecah paras tertinggi 10 bulan sejak April 2022

KUALA LUMPUR 13 Jan - Ringgit melonjak ke paras tertinggi 10 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan di negara maju itu pada masa hadapan selepas data inflasinya terkini menunjukkan arah aliran menurun.

 

Pada 9 pagi tadi, ringgit menambah nilai sebanyak 270 mata asas kepada RM4.3300/3350 berbanding dolar AS, paras terakhir dilihat pada April 2022, daripada RM4.3570/3615 dalam penutupan Khamis.

 

Kenanga Research menjangkakan ringgit mungkin meneruskan kenaikannya berbanding dolar AS pada  minggu hadapan kerana mata wang utama itu mungkin terus menjejaki arah aliran menurun.

 

Ini berikutan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) pada separuh kedua 2023 semakin kukuh di tengah-tengah kadar inflasi AS yang menyederhana dan prospek ekonomi yang lemah.

 

"Selain itu, ringgit juga akan meraih manfaat daripada jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah pengetatan seterusnya oleh Bank of Japan.

 

"Namun begitu, kelembapan dalam data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada suku keempat 2022 dan kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh People’s Bank of China akan melemahkan yuan dan mengehadkan kenaikan ringgit," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, yuan yang lebih kukuh disokong pembukaan semula sempadan antarabangsa China memberi petanda baik kepada ringgit, yang mempunyai hubung kait sekitar 60%.

 

Menurut firma itu, selepas krisis ekonomi global, ringgit menunjukkan korelasi 59.7% dengan yuan (yuan dan ringgit diukur berbanding dolar AS), mencerminkan sebahagiannya kemunculan China sebagai destinasi utama eksport Malaysia.

 

"Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa ini, ia secara tidak langsung memberi kekuatan kepada yuan dan juga kesan positif terhadap ringgit. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan kami terhadap ringgit tahun ini yang diunjur berlegar pada RM4.34 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada RM4.40 pada 2022," katanya. - DagangNews.com