RHB Research mulakan liputan terhadap Samaiden dengan saranan 'beli', TP 76 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research mulakan liputan terhadap Samaiden dengan saranan 'beli', TP 76 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Ogos - RHB Research memulakan liputan terhadap Samaiden Group Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 76 sen sesaham. 

 

Menurutnya, Samaiden dijangka meraih manfaat daripada penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin berkembang di rantau ini. 

 

Katanya, nilai kontrak yang kukuh sebanyak RM403 juta dan nilai tender RM1 bilion sepatutnya menjana kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 26%.

 

"Kami menyukai penyertannya dalam pemilikan aset RE bagi pendapatan berulang dan ini akan mengurangkan kebergantungan kepada kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC). 

 

"Diterajui oleh pasukan yang berpengalaman dan disokong dengan penggunaan RE, menjadikan saham ini menarik untuk di'beli'," katanya dalam nota kajian.

 

Buat masa ini, EPCC menyumbang sebahagian besar hasil kepada Samaiden menerusi projek solar berskala besar (LSS) dan sistem solar fotovoltaik (PV) untuk pelanggan komersial dan perindustrian.

 

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada projek EPCC, Samaiden menjadi pemilik aset RE dengan merangkul kontrak loji janakuasa biogas pertamanya pada November 2020, dengan pembinaan dijangka
siap pada November 2023.

 

Di samping itu, ia sedang meninjau untuk mencapai lebih banyak perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan pelanggan komersial dan perindustrian, dengan Samaiden membina, memiliki dan mengendalikan sistem solar PV untuk tempoh yang telah ditetapkan.

 

RHB Research berkata, dengan rekod prestasi yang dimilikinay dan status penyenaraian, menyaksikan kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak kontrak LSS.

 

"Permintaan bagi sistem solar PV daripada pelanggan komersial dan perindustrian dilihat akan terus mengukuhkan nilai kontraknya," katanya.

 

Sehubungan itu, ia mengunjurkan CAGR bagi tahun kewangan berakhir 2021 (FY21) hingga FY24 sebanyak 26% dipacu peroleh kontrak RE yang lebih tinggi, bagi mencapai sasaran 31% campuran RE di Malaysia menjelang 2025.

 

"Kami juga mengunjurkan pertumbuhan hasil antara 68 hingga 74% bagi FY22 hingga FY23," tambahnya.

 

Setakat 11.32 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.78% kepada 65 sen dengan 78,200 saham diniagakan. - DagangNews.com