RHB IB lantik Harris Ishak sebagai Ketua Wilayah M&A | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB IB lantik Harris Ishak sebagai Ketua Wilayah M&A

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengumumkan pelantikan Harris Ishak sebagai Ketua Wilayah Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A), berkuat kuasa 5 Januari 2022. 

 

Menurut RHB IB, Harris merupakan seorang jurubank berpengalaman hampir 20 tahun dalam perbankan pelaburan di mana beliau telah menerajui pelbagai latihan korporat yang terkenal di Malaysia, terutamanya dalam bidang M&A, liputan pelanggan dan khidmat nasihat. 

 

Sebelum menyertai RHB IB, Harris berkhidmat di CIMB Investment Bank selama lebih 14 tahun dan telah memainkan peranan penting sebagai ketua M&A dan menghabiskan tujuh tahun dalam menubuhkan dan mengembangkan unit M&Anya. 

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Perakaunan dan Kewangan dari Lancaster University di United Kingdom serta merupakan ahli Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales.

 

Pengarah Urusan RHB IB Ganesh Sabaratnam berkata, jumlah syarikat sasaran M&A di Asia Tenggara melonjak kepada rekod AS$101.8 bilion (RM428 bilion) tahun lepas dan dijangka menjadi lebih aktif pada masa hadapan.

 

"Kami menjangkakan aktiviti M&A akan menjadi kukuh pada tahun 2022 dengan tahap aktiviti yang tinggi daripada firma ekuiti swasta dan pelaksanaan pelupusan atau penstrukturan semula. 

 

"Selain itu, syarikat kaya tunai dan syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh juga mungkin melihat peluang pelaburan di belakang penilaian yang menarik," katanya. 

 

Tambahnya, dengan pandangan positif ini, sudah tiba masanya Harris mengetuai penambahan dan pembinaan jejak RHB IB di Asean dan pelantikannya akan mengukuhkan lagi keupayaan nasihat M&A susulan pemulihan ekonomi yang semakin pantas selepas pandemik COVID-19.

 

“Pengalaman beliau yang luas dan pengetahuan mendalam dalam kedua-dua pasaran modal dan nasihat M&A akan membantu memacu platform serantau kami, menyediakan pelanggan kami penyelesaian yang tepat untuk memenuhi inisiatif M&A strategik mereka di peringkat tempatan dan serantau,” kata Ganesh. -DagangNews.com