‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’ peluang PKS perluas pasaran produk | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’ peluang PKS perluas pasaran produk

 Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kini tiba masanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil peluang untuk mengembangkan lagi pasaran produk menerusi inisiatif Shell Malaysia, ‘Realisasi Impianmu Bersama Shell’.

Menerusinya, PKS berpeluang untuk menjual produk mereka di kedai Shell Select, sebahagian usaha berterusan oleh Shell untuk memacu komuniti berkenaan di samping meningkatkan tawaran rangkaian produk.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd., Shairan Huzani Husain berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu peranan dan sumbangan syarikat untuk melonjakkan kelestarian ekonomi PKS serta perniagaan terutama pasca COVID-19. 

“Shell Malaysia sekian lama komited untuk menjadikan hidup pelanggan dan komuniti lebih baik. Hasil yang positif daripada kerjasama dengan PKS tempatan memberi inspirasi kepada kami untuk melancarkan Realisasi Impianmu Bersama Shell.

 

Shairan Huzani Husain
Shairan Huzani Husain

 

“Kami telah berkolaborasi dengan pelbagai syarikat PKS sebelum ini dan kualiti produk yang ditonjolkan PKS tempatan mengagumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menerusi Realisasi Impianmu Bersama Shell, Shell menyasarkan kerjasama dengan PKS yang membekalkan produk kudapan, makanan manisan, minuman bukan beralkohol dan makanan sedia makan (ready-to-eat).

Inisiatif itu terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai nombor pendaftaran perniagaan yang sah. 

Realisasi Impianmu Bersama Shell juga akan mengiktiraf tiga PKS yang layak menerusi Kontrak Label Peribadi dengan Shell yang mengandungi tawaran kedai secara tetap di Shell Select seluruh negara. 

Selain itu, sebanyak 27 PKS pula berpeluang untuk mempromosi produk mereka di peringkat nasional, wilayah atau kawasan terpilih oleh Shell.

Syarikat PKS yang berminat boleh menghantar pendaftaran masuk mereka secara dalam talian menerusi pautan www.shell.com.my/MalaysianDream bermula hari ini sehingga 11 September 2020. 

Pendaftaran masuk akan dipilih berdasarkan kualiti produk, inovasi dan kapabiliti pengedaran. - DagangNews.com