KUALA LUMPUR 25 Sept - Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai sebuah pusat susu patuh syariah pertama di Malaysia.
HMMC yang terletak di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) beroperasi sejak akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif Hospital Mesra Bayi SASMEC @IIUM.
Pada 26 Julai tahun lalu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC), Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, pengiktirafan ini adalah salah satu kejayaan buat warga UIAM dan khususnya di SASMEC @IIUM kerana ia merupakan satu-satunya pusat susu atau 'milk bank' patuh syariah di negara ini, selain berkemungkinan di dunia Islam antarabangsa.
"Sepanjang usia UIAM 40 tahun ini, ia adalah sesuatu pengiktirafan yang sangat membanggakan kerana pusat susu bonda ini menjadi salah sebuah pusat yang patuh syariah di Malaysia dan di dunia.
"Dalam masa yang sama, konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa oleh UIAM ini adalah amat bertepatan untuk kesejahteraan untuk semua," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Dzulkifli, sambil disaksikan oleh Pengarah Hospital SASMEC @IIUM, Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang ketika majlis perhimpunan kakitangan di UIAM Kampus Gombak.

Bagi menjadikan HMMC sebagai salah sebuah bank susu patuh syariah, penyelidikan yang meluas dilakukan dan menubuhkan prosedur operasi standard (SOP) komprehensif mematuhi maqasid syariah dalam memelihara bukan sahaja nyawa malah keturunan, harta dan juga akal.
Pusat susu bonda juga berjaya mewujudkan sistem rekod melibatkan senarai penderma susu, jumlah bayi yang menerima susu dan bilangan kali jumlah susu diberikan kepada seseorang bayi secara digital bagi mengelakkan berlaku anak susuan (mahram).
Sistem tersebut dibangunkan sendiri tenaga pakar dalam bidang Teknologi Maklumat SASMEC @IIUM.
Pada Februari 2020, pasukan HMMC mengadakan lawatan ke bank susu di Hospital Universiti Queen Elizabeth, Glasgow untuk memperoleh kemahiran mengenai teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu manusia dengan menyesuaikan prinsip Islam kedalamnya.
Beberapa sesi dialog dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa agama Pahang untuk mendapatkan panduan dan nasihat yang jelas tentang pematuhan syariah bagi penubuhan dan kelulusan pusat tersebut.
HMMC SASMEC @IIUM mendapat bimbingan dari Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dengan semua SOP dipatuhi. Kini HMMC telah menjadi sebuah pusat susu patuh syariah pertama di negara ini dan dunia seumpamanya. - DagangNews.com








