Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber Siemens Energy dijangka tarik pelaburan RM10 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber Siemens Energy dijangka tarik pelaburan RM10 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - Syarikat teknologi tenaga utama dunia, Siemens Energy akan membuka Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber 'Managed Detection Response' (MDR) di Cyberjaya dan dijangka mampu menarik pelaburan melebihi RM10 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Pembukaan pusat operasi yang pertama seumpanya di Asia Pasifik itu dilihat akan meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi pertahanan siber antau ini.

 

Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifik Siemens Energy, Samuel Morillon berkata, Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR yang dijangka beroperasi akhir tahun ini, dilihat sangat kritikal dalam memastikan ketahanan rantaian nilai industri tenaga. 

 

"Penyelesaian MDR Siemens Energy yang sofistikated dan dikuasakan oleh Eos.ii membolehkan pelanggan sektor tenaga dan industri untuk mengenal pasti kelemahan, memantau kejanggalan dan menjangkakan sebarang serangan dan kerosakan sebelum ia berlaku.

 

"Hasil daripada keselamatan siber yang lebih mantap dan kukuh akan menyumbang kepada pembangunan landskap tenaga yang lebih matang di rantau ini. 

 

“Asia Pasifik akan menjadi penentu dalam transisi industri tenaga. Demi memastikan transformasi landskap tenaga secara efektif, adalah penting untuk kita memperkukuhkan pertahanan siber bagi infrastruktur operasi kritikal dalam rantaian nilai tenaga agar lebih selamat dan berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

siemens

 

Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR itu dilengkapi dengan kemampuan pengurusan respons insiden keselamatan, pengurusan risikan ancaman, pengurusan keterdedahan berdasarkan risiko dan penilaian ancaman. 

 

Ia turut menyediakan kemudahan pemantauan dan pengesanan yang canggih dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk pemain industri tenaga di rantau ini  pada kadar mampu milik.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pihaknya berbesar hati dan mengalu-alukan pelaburan Siemens Energy dalam menyokong inisiatif MyDigital kerajaan disamping membina kepakaran tempatan dalam bidang keselamatan siber.

 

siemens

 

"Rancangan Malaysia ke-12 menggariskan Malaysia sebagai hab digital ASEAN telah memberikan negara ini kebolehan yang mantap dalam penawaran solusi keselamatan siber.

 

“Kami optimis dengan kolaborasi berterusan antara sektor awan dan swasta. Ia akan mempercepatkan kadar penerimaan teknologi digital dan amalan keselamatan siber yang efisien selari dengan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia," katanya.

 

Penubuhan Pusat Operasi Teknologi Keselamatan Siber MDR tersebut akan menyumbang kepada pembangunan modal insan negara dan mempersiapkan kepakaran tempatan untuk industri keselamatan siber yang berkembang pesat. - DagangNews.com