KUALA LUMPUR 13 Jan - Public Investment Research memulakan liputan terhadap Kerjaya Prospek Group Bhd. dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran RM1.69 sesaham.
Ini memandangkan kumpulan secara konsisten mencapai margin keuntungan bersih dua digit yang stabil (kecuali 2021 akibat pandemik COVID-19) dan mengekalkan kedudukan tunai bersih di bawah kepimpinan pengurusan semasa.
Sebelum 2016, Kerjaya Prospek dikenali sebagai Fututech, pengeluar dapur dan lampu sebelum menceburi bidang pembinaan melalui langkah suntikan modal.
Kumpulan kini memberi tumpuan kepada tiga segmen perniagaan iaitu pembinaan, pembangunan hartanah dan pembuatan.
Dalam tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan memiliki nilai kontrak berjumlah RM4.2 bilion, tertinggi pernah dicapai berbanding FY17 sebanyak RM3.5 bilion.
Setakat ini bagi FY22, Kerjaya Prospek telah meraih kontrak baharu bernilai RM1.8 bilion, tertinggi dalam sejarah penubuhan syarikat.
Public Investment dalam nota kajiannya hari ini menjangkakan perolehan nilai kontrak yang lebih rendah dalam sektor hartanah tahun ini memandangkan prospek masih kekal mencabar ekoran corak perbelanjaan pengguna yang terhad.
Bagaimanapun, ia menjangkakan terdapat peningkatan dalam perolehan kontrak bagi bangunan komersial.
"Pada 2022, segmen hartanah komersial meningkat 45.4% tahun ke tahun dalam volum dan 28.3% dalam nilai, didorong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi terutamanya bagi sektor elektrik & elektronik (E&E).
"Selain itu, usaha sama antara kumpulan dan Samsung C&T mungkin mungkin meletakkan kumpulan pada kelebihan dari segi pembidaan untuk pekerjaan bangunan industri sebagai rakan kongsinya," katanya.
Firma itu menjangkakan pendapatan teras Kerjaya Prospek bagi FY23 akan berkembang 24.4% tahun ke tahun didorong penambahan nilai kontrak sebanyak RM1 bilion, kos jualan yang lebih rendah sebanyak 0.6% dan pengurangan kos kewangan sebanyak 11%.
"Kami menganggap pengisian nilai kontrak sebanyak RM1 bilion adalah konservatif memandangkan kumpulan memperoleh RM1.4 bilion kontrak baharu setiap tahun secara purata sejak tiga tahun lalu," katanya. - DagangNews.com








