PRU-15: PM ulangi kenyataan tidak akan lewatkan sesaat jika BN sudah bersedia | DagangNews Skip to main content

PRU-15: PM ulangi kenyataan tidak akan lewatkan sesaat jika BN sudah bersedia

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 1 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak akan melewatkan walau sesaat pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) sudah bersedia.

 

Beliau berkata, ia adalah sepertimana yang telah dipersetujui dan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lepas.

 

“Saya sebutkan bahawa  apabila kita sudah siap siaga, saya tidak  akan melewatkan walau sesaat pun untuk membubarkan Parlimen. Seperti yang telah dipersetujui oleh Perhimpunan Agung UMNO bahawa saya akan bincang dengan top five dalam UMNO.

 

“Dan hari ini, saya setuju kita akan bincang dengan kepimpinan BN dalam menentukan tarikh (pembubaran Parlimen),” katanya ketika berucap di Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu di sini hari ini.

 

Top Five merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri. 

 

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktural yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

 

Beliau berkata, langkah dan komitmen kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia.

 

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luar, yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

Ismail Sabri berkata,  walaupun ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan ekonomi.

 

“Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya peningkatan dalam inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat,” katanya.

 

Namun begitu, katanya, kerajaan sentiasa memantau keadaan semasa konflik Rusia-Ukraine  dan terus komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu seiring dengan perubahan senario ekonomi global yang lazimnya di luar kawalan. 

 

Beliau berkata, sekiranya konflik tersebut berterusan, ia akan memberi implikasi kepada komoditi dan turut memberi kesan kepada harga barang manakala tindakan beberapa negara menghentikan eksport makanan seperti India dan Indonesia, juga memburukkan lagi keadaan.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan, lapor Bernama.

 

“Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya peningkatan  inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat.

 

“Sebagai ekonomi yang terbuka dengan nilai keseluruhan perdagangan luar merangkumi hampir 120% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar, Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami kesan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia,” tambahnya. - DagangNews.com