Proton sasar jualan eksport terus meningkat di Afrika Selatan pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton sasar jualan eksport terus meningkat di Afrika Selatan pada 2023

Sehingga kini, Proton telah menghantar sebanyak 1,000 unit kenderaan ke Afrika Selatan untuk memenuhi permintaan kukuh dalam pasaran
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Dis - Proton menyasarkan untuk menggandakan jumlah jualan kenderaannya di Afrika Selatan pada 2023, berikutan prestasi jualan yang kukuh setakat ini.

 

Walaupun pasarannya matang dan berdaya saing, Proton serta pengedarnya, Kumpulan CMH optimis terhadap prospek jualan di negara itu, selepas dua bulan kembali semula ke negara itu.

 

Sehingga kini, Proton telah menghantar sebanyak 1,000 unit kenderaan ke Afrika Selatan untuk memenuhi permintaan kukuh dalam pasaran.

 

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, penjualan pantas kenderaan di Afrika Selatan adalah bukti daya tarikan Proton sebagai jenama, dan rangkaian model kepada pembeli kereta di sana. 

 

Beliau berkata, pihaknya mempunyai hubungan kerja yang kukuh dengan Kumpulan CMH, dan mengendalikan banyak aktiviti untuk memberikan peluang kepada seramai mungkin warga Afrika Selatan untuk merasai rangkaian model-model semasa Proton.

 

"Kami komited untuk menyediakan SUV mewah mampu milik untuk pembeli kereta di Afrika Selatan, dan Proton X50 dan Proton X70 mempunyai gabungan ciri dan nilai yang tepat untuk bersaing dengan jenama lain. 

 

"Dari segi spektrum yang lain, kami juga merasakan bahawa Proton Saga akan menemui posisinya sendiri dengan gabungan gaya, ciri canggih dan harga yang memberi nilai tinggi kepada pembeli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

proton

 

 

Pada masa ini, hanya SUV Proton ditawarkan di negara itu, dan Proton Saga akan menyertai rangkaian tersebut pada tahun 2023.

 

Sementara itu, selepas beroleh volum yang berganda pada tahun 2021, jualan eksport Proton terus berkembang pada tahun 2022.

 

Jumlah eksport sehingga akhir bulan November berjumlah 5,028 unit dan dengan baki satu bulan sebelum tahun ini berakhir, Bahagian Jualan Antarabangsa syarikat yakin akan dapat membesarkan lagi nombor itu.

 

 

proton

 

 

Pakistan kekal sebagai pasaran terbesar dengan 2,610 unit setakat tahun ini. Afrika Selatan adalah yang kedua terbesar dari segi jumlah walaupun merupakan tambahan baharu ke dalam senarai eksport, manakala Brunei menduduki tempat ketiga. 

 

Bagi kedudukan model, Proton Saga kekal sebagai tawaran paling popular, manakala Proton X70 telah meningkat hampir dua kali ganda jumlahnya tahun ini. Proton X50 berada di tempat ketiga tetapi telah meningkat tahun ini sebanyak tiga kali ganda setakat ini.

 

 

proton

 

 

Steven berkata, volum eksport Proton terus berkembang secara agresif apabila memasuki lebih banyak pasaran baharu dan mewujudkan gabungan strategi CBU dan CKD yang bergantung kepada keadaan pasaran. 

 

"Jualan eksport adalah salah satu tonggak pertumbuhan jualan kami dan oleh itu, kami akan berusaha untuk terus berkembang secara agresif pada tahun-tahun akan datang dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeksport utama kenderaan untuk Malaysia," katanya. - DagangNews.com