KUALA LUMPUR 13 Mac - Proton terus diberi layanan istimewa termasuk diberi status sebagai pengeluar nasional kerana masih lagi memenuhi kriteria di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI).
Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, kriteria yang digariskan sebagai contoh adalah majoriti pemilikan tempatan, memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan, menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Sebagai contoh katanya, Proton telah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, iaitu sekitar 8,500 orang yang mana 99% adalah rakyat tempatan.
"Selain itu, Proton telah melantik lebih 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya, dan nilai purata perolehan tempatan adalah di antara 75% sehingga 80% terutamanya bagi model-model yang dibangunkan secara tempatan sepenuhnya.
"Proton juga telah menjalankan aktiviti R&D tempatan bagi membolehkan Proton membuat platform, 'upper body' dan enjin sendiri bagi model-model seperti Persona, Iriz, Exora, Saga dan pelbagai model lain sebelum ini," katanya bagi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang bertanyakan mengapa Proton masih diberikan pelbagai layanan istimewa memandangkan ia bukan lagi kereta nasional dan pemilikannya hanya 51% dikuasai oleh warga Malaysia.

Menurut Liew, selain Proton, Perodua juga adalah syarikat pengeluar kereta nasional yang memberi sumbangan kepada pembangunan ekosistem industri automotif tempatan seperti peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, pembangunan rantaian pembekalan tempatan dan R&D.
Katanya, seperti mana syarikat-syarikat pengeluar kenderaan tempatan yang lain seperti Perodua, Honda, Toyota dan Volvo, Proton juga diberi insentif cukai langsung berdasarkan aktiviti pengilangan yang dijalankan kerana melibatkan aktiviti yang digalakkan.
"Di samping itu, Proton dan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan tempatan yang lain juga berpeluang menikmati insentif cukai tidak langsung seperti pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan, bergantung kepada kaedah penilaian semasa, iaitu melalui analisa kos dan faedah," katanya.
Liew berkata, berdasarkan kepada sumbangan Proton dan Perodua kepada industri automotif tempatan, kedua-dua syarikat masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional.
Bagaimanapun katanya, Proton dan Perodua hendaklah memastikan bahawa kriteria-kriteria yang digariskan di bawah NAP 2020 dipatuhi.
"Dengan adanya kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah NAP 2020, mana-mana syarikat selain Proton dan Perodua yang dapat memenuhi kriteria-kriteria tersebut juga layak dipertimbangkan untuk diberi layanan sebagai projek kereta nasional.
"MITI akan sentiasa memantau pematuhan Proton dan Perodua ke atas kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. MITI juga bersedia untuk mengemaskini dasar dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan industri automotif global," katanya.
Untuk rekod, pada 2017, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd telah membeli 49.9% kepentingan daripada Proton Holdings Bhd selepas ia menerima suntikan pinjaman RM1.5 bilion daripada kerajaan pada April 2016, manakala DRB-Hicom Bhd masih memegang 50.1% pegangan dalam Proton. - DagangNews.com








