Prospek sektor perladangan lebih cerah dengan kemasukan pekerja asing mulai separuh pertama 2023 - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek sektor perladangan lebih cerah dengan kemasukan pekerja asing mulai separuh pertama 2023 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Dis - Harga minyak sawit mentah yang diunjur lebih rendah pada 2023 sekitar RM3,000 satu tan metrik akan menjejaskan hasil syarikat perladangan tempatan, demikian menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Ia akan menyaksikan pendapatan bagi sektor perladangan merosot lebih 30% disebabkan harga minyak sawit mentah yang lebih rendah manakala kos pengeluaran pula meningkat. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan tiada saranan 'beli' diberikan kepada mana-mana syarikat perladangan di bawah liputannya. 

 

Penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, permintaan bekalan dijangka meningkat di Malaysia dan Indonesia pada 2023 dengan permintaan lemah dari India. 

 

Namun, katanya, faktor negatif itu telah diambil kira dalam kejatuhan harga saham syarikat perladangan. 

 

"Walaupun permintaan India mungkin lemah pada 2023, tetapi permintaan sawit dari China dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka positif berikutan kelonggaran sekatan terhadap COVID-19 dan kekurangan bekalan minyak bunga matahari.

 

"Kami tidak mempunyai saranan 'beli' dalam sektor ini dan akan membuat penilaian semula jika terdapat kejatuhan mendadak dalam pengeluaran akibat daripada kemunculan fenomena El Nino," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Oil World sebelum ini menjangkakan pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia akan meningkat sebanyak 0.3 juta tan metrik pada 2023 meskpin ia diunjur kekal tidak berubah pada 18 juta tan metrik tahun ini. 

 

Walaupun pengeluaran minyak sawit mentah dijangka meningkat pada 2023, pertumbuhan output dijangka tidak memberangsangkan dalam tempoh jangka panjang kerana penamanan baharu semakin berkurangan.

 

Sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 dan kelulusan RSPO yang perlahan telah menghalang penanaman baharu di Indonesia manakala Malaysia pula berdepan masalah kekurangan pekerja.

 

Menurut Huey Ling, kemasukan semula pekerja asing akan membantu meningkatkan hasil buah tandan segar pada tahun hadapan. 

 

Katanya, masalah kekurangan buruh yang dihadapi IOI Corp. Bhd. dijangka meningkat kepada 20% daripada 30% pada awal 2023 apabila 1,500 pekerja asing tiba di Malaysia pada separuh kedua 2022 manakala masalah buruh Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) akan menurun kepada 15% daripada 30%. 

 

"Kemasukan lebih ramai pekerja asing pada separuh pertama 2023 dijangka meningkatkan lagi pengeluaran minyak sawit mentah," jelasnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan daripada B10 kepada B20 akan melonjakkan penggunaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan metrik, mencerminkan 2.7% daripada pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 18.4 juta tan metrik pada 2023.

 

"Penggunaan B20 sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara pada akhir tahun ini, berbanding ketika ini hanya di Langkawi dan Labuan.

 

"Pada masa ini, penggunaan B10 dalam sektor pengangkutan dan B7 dalam sektor perindustrian menyerap kira-kira 0.9 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun," katanya. - DagangNews.com