Prospek jualan hartanah Glomac positif didorong pelancaran hartanah pada 4QFY23, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek jualan hartanah Glomac positif didorong pelancaran hartanah pada 4QFY23, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac - MIDF Research menjangkakan jualan Glomac Berhad pada tahun kewangan 2023 (FY23) lebih cerah, didorong oleh pelancaran yang dirancang dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM510 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).

 

Pelancaran tersebut termasuk GreenTec (GDV: RM340 juta), Saujana KLIA (GDV: RM100 juta) dan Lakeside Residences (RM70 juta).

 

Firma penyelidikan tersebut menyemak turun unjuran pendapatan untuk tahun kewangan 2023, 2023 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 36%, 17% dan 3% dengan mengambil kira pengebilan kemajuan yang rendah dan perbelanjaan tinggi.

 

Mengulas berkenaan laporan kewangan kumpulan tersebut semalam, firma itu berkata pendapatan bersih dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM17.5 juta berada di bawah ramalannya dan konsensus masing-masing pada 42% dan 47%.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), kumpulan itu telah merekodkan kemerosotan perolehan bersihnya sebanyak 94.8% suku ke suku (QoQ) kepada RM400,000 disebabkan pengebilan kemajuan rendah, perbelanjaan operasi tinggi dan perbelanjaan pemasaran tinggi.

 

Perolehan itu juga dipengaruhi oleh peningkatan kadar cukai, kesan aset cukai tertunda tidak diiktiraf daripada syarikat yang merugikan, menyebabkan pendapatan 9MFY23 lebih rendah 18.3% tahun ke tahun (YoY) pada RM17.5 juta walaupun jualan dan pendapatannya tinggi.

 

Pendapatan 9MFY23 meningkat disebabkan pengebilan kemajuan tinggi kerana aktiviti pembinaan disambung semula setelah ditutup pada tahun sebelumnya iaitu Saujana Perdana, 121 Residences dan Plaza @ Kelana Jaya.

 

Menurut firma itu, jualan belum dibilkan merosot sedikit kepada RM448 juta pada 3QFY23 daripada RM491 juta pada 2QFY23, memberikan keterlihatan pendapatan selama dua tahun.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 43 sen daripada 48 disebabkan oleh keterlihatan pendapatan yang lebih lemah dalam jangka terdekat.

 

“Saranan ‘beli’ dikekalkan kerana kami positif dengan prospek jualan baharunya, didorong oleh pelancaran projek perbandarannya yang menyasarkan segmen pasaran pertengahan dan mampu milik,” jelasnya.

 

Tambahnya, kunci kira-kira Glomac sihat dengan penggearan bersih 0.2x dalam 3QFY23. -DagangNews.com.