KUALA LUMPUR 12 April - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'kurang' terhadap ATA IMS Bhd. memandangkan ia dijangka terus merekodkan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dan FY24.
Penganalisisnya, Nagulan Ravi berkata, meskipun sentimen negatif yang menyelubungi ATA IMS akan berkurangan sedikit tetapi ia akan berlarutan sehingga kumpulan berupaya mengewangkan penemuan audit dengan memperoleh projek atau pelanggan baharu.
"Secara dasarnya, kami masih bimbang dengan butiran yang kurang lengkap dalam penemuan audit ini, juruaudit dan garis masa perkongsian butiran, walaupun kami kini berpendapat ATA IMS mempunyai peluang yang lebih baik untuk meraih pelanggan atau projek baharu yang berpotensi.
"Jadi, kami hanya akan lebih yakin dengan prospek pendapatan kumpulan sekiranya ia memperoleh kontrak baharu dan menunjukkan petanda yang lebih jelas tentang langkah-langkah penjimatan kosnya mula membuahkan hasil menjelang FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Juruaudit sahkan ATA patuhi piawaian buruh tempatan dan antarabangsa
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, ATA IMS berkata, penilaian bebas yang dijalankan ke atas anak syarikatnya, ATA Industrial (M) Sdn. Bhd. mendapati syarikat itu mematuhi piawaian buruh tempatan dan antarabangsa di kemudahannya di Johor Bahru.
Kajian yang dijalankan mengenai tadbir urus dan pengurusan risiko terhadap hak asasi manusia dan amalan pengurusan buruh terhadap 11 penunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa itu dikendalikan oleh salah satu daripada 4 firma pengauditan terkemuka.
Penilaian bebas pihak ketiga terhadap operasi ATA yang berakhir pada 25 Mac, mengesahkan bahawa aktiviti ATA Industrial telah mematuhi prinsip hak asasi manusia, undang-undang dan amalan dan piawaian terbaik industri untuk mengurus impak dalam bidang operasinya.
Audit itu dijalankan susulan Dyson Operations Pte Ltd (Dyson Operations) dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd (Dyson Manufacturing) menamatkan kontrak dengan pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu pada November lalu atas dakwaan penggunaan buruh paksa.
Sehubungan itu, menurut Nagulan, perkembangan itu dinilai sebagai positif memandangkan ia berupaya mengurangkan beberapa risiko sosial sebelum ini yang wujud dalam operasinya setelah kehilangan pelanggan utama pada tahun lalu.
"Kami percaya penemuan audit ini boleh memberi jaminan kepada pelanggan sedia ada atau bakal pelanggan baharu tentang pematuhannya kepada amalan buruh antarabangsa," jelasnya.
Ini membolehkan CGS-CIMB menaikkan harga sasaran (TP) ATA IMS kepada 36 sen daripada 29 sen sebelum ini kerana ia mengurangkan penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada 10% daripada 20%, terutamanya mencerminkan pengurangan risiko sosial dalam kumpulan.
Setakat 9.17 pagi ini, harga saham ATA IMS menokok 2 sen atau 4.6% kepada 45.5 sen dengan 15.26 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








