Prosek perdagangan jangka panjang tidak menentu, RHB Investment ramal pelabur elak ambil risiko | DagangNews Skip to main content

Prosek perdagangan jangka panjang tidak menentu, RHB Investment ramal pelabur elak ambil risiko

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - Prosek perdagangan jangka panjang Bursa Malaysia kelihatan tidak menentu, lebih-lebih lagi dengan pergolakan geopolitik yang sedang berlaku sekarang, kata RHB Investment Bank (RHB Investment).

 

Menurut firma penyelidikan itu, ketegangan di rantau Timur Tengah menimbulkan risiko negatif yang ketara terhadap kegiatan perdagangan dalam jangka sederhana hingga panjang. 

 

Katanya, hal ini kerana para pelabur mungkin tidak sanggup mengambil risiko tatkala keadaan tidak menentu.

 

"Walau bagaimanapun, Bursa Malaysia mungkin dapat meraih manfaat daripada ketaktentuan pasaran ekuiti jangka terdekat. 

 

"Dari segi derivatif, ketidaktentuan minyak sawit mentah (CPO) juga memberi kesan positif terhadap dagangan niaga hadapan CPO, dan ia mungkin dapat melindungi sebarang kelemahan daripada niaga hadapan Indeks Komosit Kuala Lumpur (KLCI). 

 

"Akan tetapi, perdagangan derivatif hanya membentuk sekitar 15% daripada hasil operasi Bursa Malaysia, manakala perdagangan sekuriti pula merangkumi lebih 40%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Memetik laman web Bursa Malaysia, derivatif ialah kontrak kewangan dengan nilai yang dikaitkan dengan pergerakan harga hadapan yang dijangka dengan aset asas dikaitkan. la digunakan sebagal alat untuk melindung nilai, membuat spekulasi dan arbitraj.

 

bursa

 

Oleh itu, kata RHB Investment, saranan Neutral terhadap kaunter ini dikekalkan dan harga sasaran (TP) mencecah RM7.90 sesaham dengan potensi kenaikan harga saham 6%.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berpendapat Bursa Malaysia mungkin mencatat pertumbuhan untung bersih pada digit berganda secara YoY dan QoQ disebabkan oleh data operasi yang kukuh bagi pasaran sekuriti dan derivatif.

 

Katanya, purata nilai harian sekuriti (SADV) yang didagangkan mencecah RM3.18 bilion, iaitu melonjak naik 40% YoY (QoQ: +17%).

 

"Pada pendapat kami, perkara ini menunjukkan sentimen yang kembali optimis berkenaan pasaran ekuiti tempatan oleh pelabur tempatan dan asing selepas dua tahun berprestasi agak lemah pada 2022 dan 2023. 

 

"Sektor-sektor tenaga, perindustrian dan hartanah khususnya menarik minat pelabur yang kukuh, mungkin kerana terbitan liputan berita positif mengenai usaha-usaha pembangunan domestik," ujarnya.

 

Tambah RHB Investment, pasaran derivatif juga merekodkan prestasi yang baik, dengan purata kontrak harian derivatif (DADC) yang didagangkan mencecah 84,000 unit, atau meningkat 22% YoY (QoQ: +18%) pada 1Q24 disebabkan dagangan KLCI dan niaga hadapan CPO yang lebih baik.

 

Menurut firma penyelidikan itu, apabila semua perkara ini dipertimbangkan, BURSA sepatutnya mencatat pertumbuhan hasil mencecah digit berganda secara YoY dan QoQ.

 

"Dengan mengambil kira anggaran hasil kami, Bursa Malaysia berpotensi meraih untung bersih RM65-RM75 juta untuk 1Q24, yang bermakna kenaikan mencecah digit berganda YoY dan QoQ," katanya.- DagangNews.com