Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC) yang bakal dibangunkan di Bukit Malut, Langkawi.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
ALOR SETAR 31 Mac. - Destinasi pelancongan terkenal, Pulau Langkawi bakal mempunyai tarikan pelancongan baharu melalui pembinaan projek Litar Antarabangsa OPen Road (ORIC) dan Resort Bersepadu (IR) di Bukit Malut.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor. berkata, keputusan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan OPen Road Asia Sdn. Bhd. (OPen Road Asia) merancang untuk merancakkan sektor pelancongan di Langkawi melalui satu cadangan pembangunan litar lumba bertaraf dunia di Pulau Langkawi adalah amat sesuai.
Katanya, hampir semua sektor ekonomi di pulau berkenaan seakan terhenti khususnya sektor pelancongan akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak setahun yang lalu.

"Usaha ini amat bersesuaian dengan langkah–langkah yang akan diambil bagi meneruskan kegemilangan pelancongan di Pulau Langkawi.
"Saya yakin pembangunan seperti ini mampu untuk menarik lebih ramai pelancong luar dan ianya akan memberi manafaat kepada Pulau Langkawi dan penduduk di sana.
"Pembinaan litar lumba bertaraf antarabangsa ini sesungguhnya akan menjadi tarikan baru sektor pelancongan di Langkawi disamping tarikan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama (JV) antara PKB dan OPen Road Asia di Wisma Darul Aman, hari ini.

Selain litar sukan permotoran antarabangsa yang mendapat kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) itu turut dilengkapi dengan resort bersepadu sepenuhnya.
Resort berkenaan bakal menempatkan hartanah kediaman mewah, premis jualan barangan mewah, hotel bertaraf lima bintang, pusat pengedaran kereta 4S, gudang penyimpanan 900 unit kereta, stesen minyak, restoren bertaraf antarabangsa dan pelbagai tarikan pelancongan lain.
Dalam usaha menjayakan projek tersebut, Lembaga Pengarah PKB telah bersetuju untuk membangunkan projek berkenaan di atas tanah PKB di Bukit Malut, Langkawi dengan keluasan 164.9 ekar bersekali tanah kerajaan yang terletak bersebelahan seluas 19.95 ekar secara usaha sama dengan syarikat OPen Road Asia.

Litar bertaraf antarabangsa itu dijangka siap menjelang suku kedua 2023 dan keseluruhan projek bersepadu ORIC dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ditanya berkaitan sasaran dan jangkaan awal pendapatan Kedah daripada projek berkanaan, beliau memberitahu, meskipun terlalu awal untuk menilai jangkaan tersebut, projek berkenaan pastinya memberi nilai tambah dan pendapatan melalui cukai tanah.
"Berkaitan jangkaan pendapatan masih awal, namun pastinya kita akan dapat hasil dari segi cukai tanah kerana sekarang tanah itu kosong.
"Apa yang pasti projek ini sememangnya akan melonjakkan lagi pendapatan pelancongan untuk Kedah dan keseluruhan rakyat di Langkawi," katanya lagi. - DagangNews.com








