Program MRCV lonjak teknologi industri pertahanan Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program MRCV lonjak teknologi industri pertahanan Singapura

MRCV Singapura dipercayai akan dibina berasaskan frigat kelas Iver Huitfeldt milik Tentera Laut Denmark.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Negara seberang tambak, Singapura mengukuhkan kedudukan sebagai pemilik angkatan laut termoden di rantau ini apabila bakal membangunkan program kapal perang terbaharu.

 

Enam kapal tempur pelbagai peranan (MRCV) menjadi aset Tentera Laut Republik Singapura (RSN) yang akan dioperasikan dalam tempoh lima tahun lagi.

 

MRCV merupakan konsep kapal perang moden bersaiz frigat yang akan beroperasi secara digital dan disifatkan sebagai kapal tempur masa hadapan.

 

Sesuai dengan konsepnya, MRCV bukan sahaja sebuah kapal perang tetapi juga boleh dijadikan sebagai kapal induk untuk dron dan kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV).

 

Ini dapat meluaskan jangkauan operasi kapal dan fleksibilitinya terhadap ancaman semasa di laut.

 

Pembinaan kapal-kapal ini bagi menggantikan korvet peluru berpandu (MCV) kelas Victory sedia ada yang telah berkhidmat dengan cemerlang sejak 1989.

 

Pengoperasian enam misil korvet ini oleh RSN pada waktu itu merupakan satu anjakan baharu yang mana kapal-kapal tersebut menjadi tulang belakang armada Singapura.

 

 

MRCV
Ilustrasi menunjukkan konsep MRCV dengan fungsi sebagai kapal tempur masa hadapan.

 

 

Projek pembinaan kapal Victory merupakan kerjasama teknologi firma Lurseen Werft, Jerman dengan kapal pertama dibina di sana manakala lima buah dibina di Singapura.

 

Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) minggu lalu telah menandatangani kontrak pembinaan kapal-kapal MRCV ini dengan syarikat tempatan, Singapore Technologies Engineering Ltd (ST Engineering).

 

ST Engineering merupakan sebuah syarikat multinasional yang menerajui beberapa bidang seperti pertahanan, keselamatan, aeorangkasa dan kejuruteraan perisian. 

 

Ia juga tersenarai antara 100 syarikat pertahanan yang utama di dunia.

 

ST Engineering sebelum ini berjaya membina dan menyiapkan lapan buah kapal misi pesisir (LMV) kelas Independence untuk RSN menggantikan kapal peronda kelas Fearless.

 

 

MRCV
Iklan yang diterbitkan pihak ST Engineering menunjukkan kesediaan mereka untuk melangkah pada fasa lebih maju dalam industri pertahanan maritim.

 

 

Kontrak yang dianugerahkan pada 2013 ini dapat disiapkan mengikut jadual apabila kapal pertama diterima tahun 2016 dengan yang terakhir pada 2020 iaitu semasa situasi pandemik COVID-19.

 

Sebagai perbandingan, kontrak projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditandatangani 17 Julai 2014 untuk kapal pertama disiapkan pada April 2019.

 

Bagaimanapun, sehingga kini projek LCS yang berhadapan skandal masih dalam proses untuk diselesaikan oleh kerajaan apabila memutuskan hanya lima buah dibina.

 

Program pembinaan MRCV ini dijangka bermula pada tahun 2025 dengan kapal dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

 

Sumber industri membayangkan kapal MRCV ini akan dibina berasaskan rekabentuk Odense Maritime Technology (OMT) iaitu frigat kelas Iver Huitfeldt milik Tentera Laut Denmark.

 

 

MRCV
RSS Valiant iaitu salah sebuah daripada kapal MCV kelas Victory.

 

 

Frigat ini mempunyai berat sekitar 6,000 tan dengan sistem persenjataan seperti peluru berpandu anti-kapal, pertahanan udara, meriam dan torpedo serta pertahanan elektronik.

 

Bagaimana pun, MRCV Singapura akan mempunyai berat kira-kira 10,000 tan yang diklasifikasikan sebagai 'heavy frigate'.

 

Selain meningkatkan keupayaan, MRCV baharu akan dibina khas menggabungkan teknologi untuk mengautomasikan fungsi tertentu. 

 

Ini menyaksikan MRCV menggunakan kurang tenaga manusia iaitu dengan kru hanya separuh berbanding saiz sama untuk sebuah kapal frigat moden. 

 

Kebiasaannya sebuah kapal frigat mempunyai pegawai dan kru seramai 200 orang.

 

Aplikasi teknologi moden dan sistem automasi ini akan menghasilkan penjimatan kos operasi sehingga 10%, berbanding frigat bersaiz serupa.

 

Sepertimana dalam program pembinaan kapal perang sebelumnya, projek MRCV ini juga turut membabitkan kerjasama teknologi Singapura dengan firma antarabangsa.

 

 

MRCV
ST Engineering sebelum ini berjaya membina dan menyiapkan lapan buah kapal LMV kelas Independence untuk RSN.

 

 

Untuk itu, Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan Singapura (DSTA) dan firma Saab dari Sweden telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semasa Sidang Kemuncak Teknologi Pertahanan Singapura pada 22 Mac lalu.

 

Perkongsian itu menyaksikan kedua-dua pihak bersama-sama melaksanakan inisiatif dalam tiga domain sokongan jangka panjang, pembangunan insan dan teknologi pintar. 

 

Menerusi kerjasama itu, DSTA dan Saab akan membangun dan mereka bentuk kapal berkenaan.

 

Ini termasuk memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data untuk merealisasikan konsep MRCV sebagai kapal digital. 

 

Melalui perjanjian ini, DSTA juga dapat membangunkan bakat tempatan dalam reka bentuk kapal permukaan, kemahiran kejuruteraan marin dan teknologi digital. 

 

Kerjasama DSTA-Saab ini juga bersifat jangka masa panjang untuk membangunkan keupayaan dalam negara bagi industri tersebut terutamanya pada peringkat selenggaraan.

 

Jelas, program MRCV ini bakal meletakkan industri pertahanan maritim Singapura pada kelas teratas dan tersendiri di rantau ini apabila membabitkan teknologi yang mempunyai kepentingan strategik seperti AI dan analisis data. 

 

Ini sepatutnya dipelajari oleh industri pertahanan negara iaitu menjadi pembuat yang benar-benar berusaha untuk memiliki teknologi dan bukan hanya meminjam. - DagangNews.com