Program BBC, E-Board Insken bantu usahawan sesuaikan diri dengan norma baharu | DagangNews Skip to main content

Program BBC, E-Board Insken bantu usahawan sesuaikan diri dengan norma baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya membantu usahawan menyesuaikan diri serta meneruskan perniagaan dengan norma baharu melalui dua program bimbingan iaitu Insken Bumiputera Business Coaching (BBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) sebanyak RM9.8 juta peningkatan hasil jualan. 

 

Selain itu, sebanyak 256 pekerjaan baharu berjaya dicipta melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi ini yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, graduan yang lulus dibawah program Insken akan diberikan kelulusan permohonan pinjaman secara automatik serta kelulusan serta merta.

 

“Insken sentiasa konsisten menghulurkan bantuan berbentuk latihan serta bimbingan bagi memastikan usahawan dapat kekal bertahan ketika pandemik kini dapat menyaksikan usahawan mula menyesuaikan diri dengan norma baharu. 

 

"Usahawan dilihat bukan sahaja mampu berdepan dengan norma baharu malah peningkatan hasil jualan ini merupakan sebuah penanda aras yang amat baik.

 

“Usahawan yang berjaya meningkatkan hasil jualan ini adalah bukti mereka mampu meneruskan perniagaan walaupun perlu mengamalkan norma baharu dan bukan penghalang untuk terus maju,” katanya pada Majlis Graduan Program Bimbingan Insken 2020/ 2021 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin.

 

insken
Tan Sri Noh Omar

 

Sementara itu, Muhd. Firadaus berkata, seramai 295 peserta berjaya menamatkan program one-on-one selama empat bulan dan mereka merupakan usahawan industri Penjagaan Selepas Bersalin,Restoran dan Kafe, Bakeri, Pasar Raya, Jahitan dan Pelancongan.

 

“Seramai 170 peserta daripada dua kohort Program E-Board dibimbing membuat pemasaran digital selama empat bulan berjaya mencatat peningkatan hasil jualan melebihi RM560,000.

 

insken
Muhd. Firdaus Azharuddin

 

“Usahawan yang menyertai program ini berjaya membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada, Telegram dan YouTube.

 

“Oleh itu, Insken akan terus memberikan bimbingan kepada usahawan melalui dua program in yang masih lagi diteruskan pada 2022,” katanya. - DagangNews.com