Prestasi kewangan tersasar daripada jangkaan, RHB Research semak turun penarafan AEON Credit kepada 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan tersasar daripada jangkaan, RHB Research semak turun penarafan AEON Credit kepada 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 April - RHB Research menyemak turun penarafan saham AEON Credit Service (M) Bhd. kepada 'neutral' daripada 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) kekal tidak berubah pada RM16.10.

 

Firma itu turut menyemak semula pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 (FY23)-FY24 sebanyak 1% hingga 3% selepas mengambil kira prestasi kewangannya bagi suku keempat yang tersasar daripada jangkaan.

 

"Bagaimanapun, kami melihat permintaan pinjaman akan kembali meningkat apabila sentimen perniagaan bertambah baik.

 

"Ini turut disokong dengan kelonggaran sekatan pergerakan dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Perolehan AEON Credit susut 10.7% bagi Q4FY22

 

Bagi suku keempat berakhir 28 Februari 2022, pendapatan AEON Credit mencatat penurunan sebanyak 10.7% kepada RM362.97 juta berbanding RM406.35 juta bagi tempoh sama tahun.

 

Keuntungan bersih juga susut 79.4% kepada RM23.38 juta daripada RM113.72 juta disebabkan oleh peruntukan yang lebih tinggi untuk kerugian rosot nilai ke atas pembiayaan belum terima.

 

Untuk FY22, keuntungan bersih bagaimanapun meningkat kepada RM365.42 juta daripada RM233.96 yang direkodkan setahun sebelumnya. Sebaliknya, pendapatan merosot kepada RM1.52 bilion daripada RM1.56 bilion.

 

Menurut RHB Research, bagi FY23, AEON Credit menyasarkan pertumbuhan pinjaman lebih 10% manakala Laporan Maklumat Kredit (CIR) dikekalkan kurang daripada 60% bagi menyokong sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 15%.

 

"Pada pandangan kami, sasaran yang ditetapkan ini agak konservatif. Tetapi, pada masa sama terdapat tanda-tanda berlakunya kelemahan dari segi kualiti aset.

 

"Namun, pengurusan menjangkakan normalisasi, sejajar dengan pemulihan dalam pendapatan boleh guna dan sentimen pasaran yang semakin baik," jelasnya.

 

Setakat 10.56 pagi, harga saham AEON Credit susut 58 sen atau 3.79% kepada RM14.72 dengan 410,900 saham diniagakan. - DagangNews.com