Prestasi FY21 melepasi jangkaan, MIDF Research semak TP Gas Malaysia lebih tinggi pada RM3.25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi FY21 melepasi jangkaan, MIDF Research semak TP Gas Malaysia lebih tinggi pada RM3.25

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gas Malaysia Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM3.25 selepas menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan. 

 

Menurut firma itu, kenaikan harga gas asli sejajar dengan peningkatan harga minyak, secara tidak langsung akan meningkatkan margin runcit dan menyumbang kepada pendapatan Gas Malaysia bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dalam tempoh terdekat. 

 

Berbanding Eropah, katanya, gas asli Asia telah dijual pada harga premium yang lebih tinggi, tetapi disebabkan bekalan gas asli yang ketat di Eropah, lebih-lebih lagi dengan risiko geopolitik semasa di rantau ini, harga telah meningkat dengan mendadak pada 2022.

 

"Kami terus menilai Gas Malaysia secara positif dengan mengambil kira prestasi FY21 yang kukuh, pemulangan penuh pengangkutan gas asli cecair (LNG) ekoran kesan pandemik yang berkurangan dan pemulihan permintaan LNG di peringkat tempatan dan serantau.

 

"Bagaimanapun, ketidaktentuan akibat COVID-19 yang berpanjangan dan gangguan pengeluaran serta eksport gas asli akibat kemusnahan permintaan dan cuaca yang tidak menggalakkan akan terus menjadi cabaran kepada prestasi masa depan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih Gas Malaysia bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 meningkat 0.1% kepada RM69.29 juta daripada RM69.23 bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan meningkat 6.7% kepada RM1.94 bilion daripada RM1.82 bilion.

 

Bagi FY21 penuh, untung bersihnya meningkat 17.4% kepada RM249.62 juta berbanding RM212.62 juta tahun sebelumnya, sebaliknya pendapatan susut 12.5% kepada RM5.85 bilion daripada RM6.69 bilion.

 

Sejajar dengan prestasi kewangan yang melepasi jangkaannya, MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 lebih tinggi masing-masing sebanyak 19.9% dan 25%.

 

Harga sasaran juga disemak tinggi kepada RM3.25 berbanding RM3.22 berdasarkan tambatan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 14x kepada semakan semula pendapatan sesaham (EPS) FY22 sebanyak 23.3 sen.

 

Menurut firma itu, prospek kumpulan dilihat terus cerah disokong Rancangan Malaysia Ke-12 yang meletakkan gas asli sebagai pemangkin ke arah inisiatif pelepasan sifar karbon. 

 

"Walaupun sentimen terhadap peralihan tenaga secara global semakin menurun berikutan kenaikan harga minyak yang menarik, tetapi gas asli dijangka memainkan peranan dalam pergerakan tenaga yang lebih bersih. 

 

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa sokongan untuk gas asli akan menyumbang dengan ketara kepada Gas Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang," jelasnya. 

 

Setakat 9.20 pagi ini, harga sahamnya menokok 4 sen atau 1.49% kepada RM2.73 dengan 38,200 saham diniagakan. - DagangNews.com