Pos Malaysia sumbang lebih RM80,000 ke Tabung Amanah Kementerian Kesihatan Malaysia Melalui Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pos Malaysia sumbang lebih RM80,000 ke Tabung Amanah Kementerian Kesihatan Malaysia Melalui Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)

Zaini Yahman, Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad (kiri), dan Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di majlis penyampaian cek
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Pos Malaysia Berhad menyumbangkan lebih RM80,000 iaitu 5% hasil kutipan melalui perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun 2023 untuk memanfaatkan Tabung Amanah Pembiayaan Kos Rawatan, Ubat-ubatan dan Peralatan bagi Rawatan Pesakit Kanser Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat Pos Malaysia dengan bertujuan untuk membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan untuk meneruskan rawatan mereka.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Dato' Sri Norazman Ayob berkata, bagi tempoh 2012 hingga Jun 2023, Pos Malaysia telah menyumbang sebanyak RM708,783.56 dan sejumlah RM617,393.20 telah dibelanjakan untuk rawatan pesakit kanser dari seluruh Malaysia khususnya di Institut Kanser Negara dan Hospital Kuala Lumpur yang merupakan fasiliti kesihatan KKM rujukan utama bagi rawatan kanser.

 

"Melalui sumbangan ini, pelbagai peralatan perubatan dibeli untuk membantu pesakit kanser kurang berkemampuan. Antara peralatan perubatan yang dibeli ialah chemo port, oxygen concentrators, pleural & peritoneal indwelling catheters, infusion pump dan sebagainya.

 

Bagi Januari sehingga Jun 2023, sebanyak 360,922 bungkusan telah dihantar melalui perkhidmatan UMP. Hasil daripada perkhidmatan ini, sebanyak RM84,276.70 akan disalurkan kepada Tabung Amanah.”

 

Perkhidmatan UMP telah dilancarkan pada tahun 2011 dengan menawarkan penghantaran ubat-ubatan susulan ke lokasi pilihan pesakit dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan PosLaju dengan bayaran yang minimum.

 

Perkhidmatan ini memberi kemudahan kepada pesakit untuk menerima bekalan ubat mereka terus di lokasi pilihan tanpa perlu ke fasiliti kesihatan KKM (hospital dan klinik kesihatan), sekaligus mengurangkan masa menunggu di fasiliti kesihatan KKM.

 

Perkhidmatan ini juga memastikan kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit tanpa gangguan dan meningkatkan tahap pematuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan mereka.

 

Zaini Yahman, Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad berkata, menggunakan rangkaian luas Pos Malaysia yang menjangkau lebih 11 juta alamat di seluruh negara, pihaknya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada Pos Malaysia untuk membawa perubahan dalam kehidupan ramai pesakit.

 

“Secara puratanya, Pos Malaysia menghantar 60,000 bungkusan sebulan dan kami sentiasa komited dalam memastikan penghantaran ubat ini selamat serta tepat pada masanya kepada pesakit.

 

"Tanggungjawab kami bukan hanya menghantar bungkusan semata, namun, kami juga menyampaikan harapan kepada mereka yang memerlukannya. Perkhidmatan ini menggambarkan komitmen kami sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab kepada masyarakat serta sentiasa memacu kepada pembangunan inovasi ke tahap yang lebih baik, dan kami juga berharap dapat meneruskan usaha ini bagi meningkatkan taraf kehidupan demi membina masa hadapan yang lebih baik," tambahnya.

 

UMP kini boleh didapati di 394 fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara. Orang ramai yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini boleh memuat turun aplikasi mudah alih MyUBAT melalui Google Play, App Store atau AppGallery, atau mendapatkan maklumat lanjut di mana-mana farmasi fasiliti kesihatan KKM. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari https://myubat.pharmacy.gov.my. - DagangNews.com