PM seru jangan naikkan harga barang hingga bebankan pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM seru jangan naikkan harga barang hingga bebankan pengguna

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Putrajaya, petang semalam. - Gambar Malakat Tribune

PUTRAJAYA 5 April - Peniaga bazar Ramadan diseru supaya tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya hingga membebankan pengguna.

 

Seruan tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Putrajaya, petang semalam.

 

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

 

Kata Perdana Menteri, kawalan pada harga barangan bermasak adalah agak sukar dilaksanakan kerana ia dipengaruhi pelbagai faktor.

 

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melakukan pantauan dan kawalan harga jualan sekiranya perlu, lapor Malakat Tribune.

 

“Kita serah kepada KPDNHEP bagaimana mereka nak kawal sebagaimana yang disebut oleh Datuk Seri Alex (Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) semalam kalau nampaknya harga itu terlalu melampau mungkin mereka akan menasihatkan atau mengambil tindakan.

 

“Tapi, ini kuasa KPDNHEP saya serahkan kepada mereka… yang penting pengguna tidak ditekan dari segi kenaikan harga,” katanya kepada pemberita. - DagangNews.com