PLUS tutup sementara lorong kiri, tengah laluan Setia Alam-KLIA/Johor Bahru di NKVE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLUS tutup sementara lorong kiri, tengah laluan Setia Alam-KLIA/Johor Bahru di NKVE

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Lorong kiri dan tengah bagi laluan Setia Alam-KLIA/Johor Bahru di Persimpangan Shah Alam di KM9.0 hingga KM9.32 (Arah Utara) di Lebuhraya NKVE akan ditutup sementara pada 15 Disember hingga 18 Disember 2022, mulai pukul 10 malam sehingga 6 pagi bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan.

 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh tersebut, pengguna Lebuhraya NKVE dari Bukit Raja dan Setia Alam yang ingin menuju ke KLIA/Johor Baharu (Lebuhraya ELITE) dinasihatkan keluar di Plaza Tol Shah Alam seterusnya menggunakan Jalan Persiaran Gerbang Utama dan membuat pusingan-U di bulatan berhampiran Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong. 

 

Bagaimanapun katanya, lorong kanan di laluan terbabit masih dibuka kepada pengguna lebuh raya yang ingin menuju ke Kuala Lumpur dan Ipoh.

 

"Justeru itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan bagi mengelakkan kebarangkalian kesesakan trafik yang tinggi. 

 

"Dalam masa yang sama, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas pengawal trafik ketika melalui kawasan terbabit," katanya.

 

Katanya, pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik terkini atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

 

"PLUS mengucapkan terima kasih kepada pengguna lebuh raya di atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut. - DagangNews.com