PLUS tambah 12 lorong RFID di 11 plaza tol utama secara berperingkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLUS tambah 12 lorong RFID di 11 plaza tol utama secara berperingkat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menambah 12 lorong RFID melibatkan 11 plaza-plaza tol utama di lebuh raya kendaliannya secara berperingkat dan siap menjelang pertengahan April tahun ini.

 

PLUS dalam satu kenyataan barkata, ia membabitkan Plaza Tol Rawang Selatan, Setia Alam, Kubang Semang, Subang, Putra Mahkota, Shah Alam, Jalan Duta, Jambatan Pulau Pinang, Sungai Buloh, Sungai Besi dan Kajang untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik demi kesejahteraan, keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya. 

 

Katanya, syarikat mengambil maklum dan menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia pada 13 Januari 2023 berkenaan penambahan lorong RFID di Lebuhraya PLUS. 

 

"Kami menjangka kesemua proses penambahan lorong RFID ini akan siap secara berperingkat menjelang pertengahan April tahun ini," katanya.

 

Tambahnya semua pengguna RFID dinasihatkan sentiasa menggunakan lorong RFID atau mod pembayaran sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol serta memastikan baki e-dompet mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya untuk pengalaman perjalanan lebih lancar. - DagangNews.com