KUALA LUMPUR 15 Nov - Anak syarikat perdagangan dan eksport PLS Plantations Bhd., Dulai Fruits Enterprise Sdn. Bhd. memperkukuhkan perjanjian eksport dan pengedaran eksklusif dengan COFCO Food Import Co. Ltd. yang berpangkalan di Shanghai, China.
COFCO Food adalah anak syarikat import dan pengedaran China Oil and Foodstuffs Corporation (COFCO) yang merupakan peneraju dalam industri pertanian dan makanan serta produk pertanian terkemuka dunia dengan rantaian nilai bersepadu sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLS, Lee Hun Kheng berkata, perjanjian itu menjadi pencapaian penting kepada kumpulan kerana ia membentuk strategi jangka panjang untuk membangunkan ekosistem agromakanan secara menyeluruh yang akan menyokong pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran produk di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Katanya, melalui COFCO, durian Malaysia akan diedarkan ke bandar dan wilayah paling ramai penduduk di China, menjangkau sehingga Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.
"Pencapaian ini merupakan satu lagi langkah ke arah matlamat kami untuk menjadi pengeluar agromakanan terkemuka di mana, buah dan produk durian segar dan berkualiti tinggi menjadi tunjang utama.
"Ini juga akan membuka peluang kepada PLS untuk mengedarkan hasil Malaysia ke China dan dunia, selain memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada hasil yang berpatutan dan berkualiti.
"Kami mahu meletakkan Malaysia di peta global dari segi hasil tempatan kami, terutama varieti durian unik kami, dan untuk mengembangkan bahagian pasaran duriandi salah satu negara dan pasaran terbesar di dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

PLS telah menjalin kerjasama dengan COFCO sebelum pandemik COVID-19 dan diperakui di bawah kualiti ketat China dan keperluan keselamatan makanan memandangkan negara itu amat menekankan piawaian yang tinggi dari segi kualiti pembekalnya di seluruh dunia.
Kerjasama eksklusif pengedaran antara PLS dan COFCO itu menyasarkan untuk mencapai kadar pertumbuhan tahunan 30% (jumlah import tahunan berjumlah 200 juta yuan) bagi semua jenis durian yang diimport dari Malaysia dalam tempoh tiga tahun.
Sementara Wu Yiran berkata, permintaan durian di China semakin meningkat sejak beberapa tahun ini, yang mana tempoh empat antara 2017 dan 2020, nilai import tahunan durian segar China telah meningkat lebih tiga kali ganda.
Malah, katanya, Pentadbiran Am Kastam menyaksikan China mengimport 822 juta kilogram durian pada 2021, dengan nilai import $4.2 bilion.
"Dengan permintaan tempatan untuk durian segar yang dijangka terus meningkat, kami berbesar hati memuktamadkan perjanjian pengedaran eksklusif ini yang mana kerjasama ini akan memastikan bekalan berterusan buah-buahan dan produk segar dan berkualiti tinggi.
"Ini khususnya untuk jenis durian unik yang hanya boleh ditanam di Malaysia seperti Musang King, Red Prawn dan D24," katanya. - DagangNews.com








