KUALA LUMPUR 14 Dis - Pemaju hartanah, Plenitude Berhad melancarkan kempen ‘Home Sweet Home’ yang berlangsung sehingga Mac 2023 dengan tawaran menarik bagi pembeli rumahnya.
Tawaran tersebut, termasuk rebat yuran guaman percuma, duti setem percuma dan pelbagai tawaran lain menanti mereka yang membeli rumah dalam mana-mana enam projeknya di lima lokasi berbeza, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Johor.
Selain itu, tiga pembeli rumah bertuah berpeluang memenangi iPhone 14 Plus, baucar peralatan elektrik dan penginapan hotel dalam cabutan bulanannya. Cabutan ini akan diadakan selama 6 bulan dengan jumlah hadiah bernilai lebih RM60,000.
Enam projek pegangan bebas Plenitude merangkumi The Marin at Ferringhi di Batu Ferringhi Pulau Pinang, Cello dan Harp di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, Diamond di Taman Putra Prima, Puchong, Selangor, Ramlee Bukit Bintang di Sungai Petani, Kedah dan Magnolia di Impian Hills, Johor Bahru.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Plenitude, Elsie Chua berkata, pihaknya menawarkan kempen pemilikan rumah kerana yakin bahawa tawaran yang diberikan akan menarik minat pembeli kerana mereka akan menikmati penjimatan besar.
Beliau berkata, koleksi rumah direka untuk memenuhi keperluan kehidupan moden dengan perincian teliti bagi kehidupan perbandaran holistik yang dilengkapi kemudahan, lokasi strategik, ruang yang luas serta persekitaran hijau.
"Pembeli rumah boleh memilih daripada senarai hartanah kami yang berpegangan bebas di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Lembah Klang.
"Sama ada kediaman bertingkat tinggi, banglo satu tingkat atau rumah kluster dua tingkat, kami menawarkan pelbagai pilihan mengikut citarasa semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di utara, The Marin at Ferringhi, Pulau Pinang adalah pangsapuri mewah moden di kawasan terkenal Ferringhi yang menawarkan pemandangan indah Laut Andaman.
Unit sedia dimiliki itu menawarkan susun atur yang luas dengan kemudahan resort. The Marin menawarkan Dek Kemudahan berlandskap dengan kolam infiniti sepanjang 40 meter, gim serba lengkap dan taman permainan kanak-kanak.
Kemudahan lain termasuk dua gelanggang tenis, tapak semaian, bilik permainan, dua dewan serbaguna, plaza terbuka, kolam renang, jakuzi, sauna, dan juga bilik kitar semula.
Sementara itu, di Lembah Klang, Diamond merangkumi rumah teres 2 dan 3 tingkat di perbandaran matang Taman Putra Prima, Puchong. - DagangNews.com








