KUALA LUMPUR 12 April - Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti digubal adalah satu manifestasi ke arah politik yang lebih sihat dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob justeru menzahirkan rasa puas hati dengan penyatuan Ahli-Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
“Malaysia ke arah kestabilan politik yang lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” kata Ismail Sabri dalam catatan di Facebooknya.
Beliau berkata blok kerajaan dan pembangkang turut senada dan harmoni untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas bagi meneliti pindaan Perlembagaan yang lebih khusus mengenai lompat parti serta mewujudkan Akta Anti Lompat Parti.
Rang undang-undang bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bertujuan memasukkan fasal baharu 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.
Dewan Rakyat juga meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, lapor Bernama.
Jawatankuasa itu dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berbuka puasa bersama warga kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan badan berkanun Persekutuan di kediaman rasmi Seri Perdana di sini, malam tadi.
Majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu itu turut dihadiri Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Hasan Arifin, Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran 46 anak yatim berusia empat hingga 17 tahun daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang di Selangor, dan Ismail Sabri meluangkan masa beramah mesra dan bergambar kepada mereka.
Ismail Sabri kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah. - DagangNews.com








