KUALA LUMPUR 7 Ogos – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meningkatkan pegangan baginda dalam Citaglobal Bhd melalui pengambilalihan 3.52% kepentingan.
Pembelian pegangan tersebut, melibatkan 15 juta saham, meningkatkan pegangan langsung baginda dalam kumpulan pelbagai sektor itu kepada 13.25% atau 56.37 juta saham, daripada 9.72% sebelum ini, menurut makluman Citaglobal di Bursa Malaysia.
Pembelian ini dibuat serentak dengan pelupusan oleh Tiza Global Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan milik Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang menjual 15 juta saham Citaglobal melalui urus niaga pasaran luar.

Harga urus niaga saham tersebut tidak dinyatakan. Bagaimanapun, menurut data pasaran luar Bloomberg, blok 15 juta saham itu diniagakan pada harga 80 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM12 juta.
Susulan urus niaga ini, Norza kekal sebagai pemegang saham terbesar Citaglobal dengan 29.31% pegangan langsung dan tidak langsung (melalui Tiza Global), manakala Al-Sultan Abdullah kini merupakan pemegang saham kedua terbesar.
Citaglobal pada Selasa lalu mengumumkan perjanjian bernilai RM40 juta untuk memperoleh 12.8% kepentingan tidak langsung dalam pemaju induk Perlis Maritime Corridor (PMC).
Perjanjian itu melibatkan penerbitan saham baharu bagi memperoleh 20% kepentingan dalam Manjaran Sdn Bhd — pemegang saham tidak langsung dalam pemaju induk PMC, Mutiara Perlis Sdn Bhd — daripada Dedap Rimbun Sdn Bhd, milik Datuk Shabaruddin Ibrahim dan keluarga.
Selepas urus niaga tersebut selesai, Dedap Rimbun dijangka menjadi pemegang saham ketiga terbesar Citaglobal, selepas Norza (melalui Tiza Global) dan Al-Sultan Abdullah.
Saham Citaglobal ditutup 1.86% lebih tinggi atau naik 1.5 sen kepada 82 sen pada Rabu, dengan nilai pasaran kumpulan mencecah RM346.82 juta. - DagangNews.com








