KUALA LUMPUR 27 Nov - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan tiga kad pengenalan baharu mulai Jun 2026, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
MyKad, MyTentera dan MyPoCA versi terbaharu itu akan menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan serta meningkatkan keupayaan pengesahan digital.
“JPN memastikan sebarang pindaan terhadap kad pengenalan dilaksanakan secara teliti dengan mengekalkan ketepatan rekod.
“Pada masa ini, permohonan perubahan maklumat pada kad pengenalan masih boleh dibuat bergantung kepada jenis maklumat yang ingin dipinda,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut beliau, penambahbaikan pada kad pengenalan berkenaan direka bagi mengekang cubaan pemalsuan serta memastikan sistem pengenalan negara kekal sejajar dengan kemajuan teknologi semasa.
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah kod QR, yang membolehkan pengesahan digital bagi mengesahkan ketulenan kad tersebut.
Dalam sesi perbahasan, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mencetak status Bumiputera pada kad pengenalan baharu, merujuk satu insiden baru-baru ini di mana seorang Bumiputera Sarawak tidak diiktiraf sedemikian oleh seorang pegawai bank kerana beliau bukan beragama Islam.
Beliau turut mencadangkan agar maklumat agama dimasukkan pada kad pengenalan baharu bagi mengelakkan kekeliruan, sambil menggesa kerajaan meneliti cadangan berkenaan demi kejelasan pentadbiran dan keadilan. - DagangNews.com








