Kerugian operasi feri: Mahkamah tolak tuntutan RM30 juta Prasarana terhadap Penang Port | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian operasi feri: Mahkamah tolak tuntutan RM30 juta Prasarana terhadap Penang Port

Foto arkib ihsan Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Pulau Pinang
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 SeptPrasarana Malaysia Berhad gagal dalam tuntutan saman bernilai RM30 juta terhadap Penang Port Sdn Bhd (PPSB) berhubung kerugian daripada perkhidmatan feri Pulau Pinang.


Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Eddie Yeo Soon Chye memutuskan, pampasan dinyatakan dalam Fasal 4 Perjanjian Pembelian Perniagaan dan Aset (BPA) pada 2016 bukanlah satu hak mutlak.


Menurut penghakiman bertarikh 22 Ogos 2025, pampasan itu bersyarat kepada komitmen jangka panjang Prasarana untuk mengendalikan perkhidmatan feri tersebut sebagai satu obligasi perkhidmatan awam.

 

 

 

 

 

 


“Apabila Prasarana bertindak menyerahkan semula operasi feri kepada PPSB dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, justifikasi pembayaran tersebut sebenarnya sudah pun luput,” kata Soon Chye.


Mahkamah memutuskan pengabaian operasi feri oleh Prasarana membatalkan asas asal bayaran pampasan yang dijanjikan, kerana BPA meletakkan syarat pengurusan jangka panjang sebagai asas pampasan.


Sebagai rekod, Prasarana melalui anak syarikatnya, Rapid Ferry Sdn Bhd, mula mengambil alih semua operasi harian feri Pulau Pinang daripada PPSB pada Mei 2018 dengan nilai nominal RM1 sahaja.

 

feri
FOTO arkib ihsan Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Pulau Pinang

 

Bagaimanapun, selepas arahan kerajaan pada 1 Januari 2021, Prasarana menyerahkan semula kepada PPSB serta menandatangani perjanjian aset, penyewaan, penjualan dan pembelian (ARSPA) pada Jun 2021.


Mahkamah juga memutuskan untuk menerima hujahan PPSB yang langkah penandatanganan ARSPA secara automatik sudah membatalkan obligasi dalam BPA, selaras dengan Seksyen 63 Akta Kontrak 1950.


"Antara fakta yang melemahkan tuntutan Prasarana termasuk cek RM10 juta daripada PPSB dibatalkan selepas keputusan kerajaan untuk menamatkan pengurusan Prasarana ke atas operasi," katanya.


Prasarana sendiri jelasnya, sudah membayar sejumlah RM17.4 juta kepada PPSB bagi bantuan operasi dan satu lagi bayaran sebanyak RM10.7 juta dipersetujui melalui penghakiman persetujuan pada 2022.


Hakim turut menegaskan lesen operasi selama 30 tahun yang diberikan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) kepada Rapid Ferry pada 2018 membuktikan BPA bertujuan komitmen jangka panjang.

 

 

 

 

 

 


Seorang saksi Prasarana juga mengakui yang RM30 juta tersebut adalah untuk menampung tiga tahun pertama operasi dalam komitmen 30 tahun, menafikan dakwaan ia adalah pembayaran tanpa syarat.


Pasukan perundangan PPSB diketuai oleh Datuk David Morais, manakala Prasarana diwakili John Matthew dan pasukannya. - DagangNews.com