Harga rokok naik sehingga RM18.40 berkuat kuasa 21 November 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga rokok naik sehingga RM18.40 berkuat kuasa 21 November 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 19 Nov British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT Malaysia) mengumumkan penyesuaian harga rokok selepas kerajaan menaikkan duti eksais dalam Belanjawan 2026. 

 

Langkah itu menjadikan harga baharu rokok BAT berada dalam lingkungan RM12.40 hingga RM18.40 sekotak, bergantung kepada jenama dan variasi.

 

Menurut kenyataan BAT Malaysia, harga baharu yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan itu akan berkuat kuasa mulai 21 November 2025.

 

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, kenaikan eksais secara sederhana ini adalah langkah tepat, memandangkan kali terakhir penyelarasan dilakukan adalah 10 tahun lalu.

 

“Dalam keadaan ekonomi semasa, pendekatan sederhana ini lebih seimbang,” katanya dalam kenyataan.

 

Salem turut menarik perhatian kepada isu pasaran gelap yang masih membelenggu industri tembakau negara.

 

“Kenaikan harga secara mendadak sebelum ini menyumbang kepada pengembangan pasaran gelap, yang kini mewakili 54% daripada keseluruhan penggunaan rokok di Malaysia,” katanya.

 

Beliau menegaskan pasaran gelap memberi ancaman besar kepada objektif kesihatan awam, keselamatan serta kutipan hasil kerajaan.

 

Menurutnya, usaha penguatkuasaan pada tahun 2025 menunjukkan hasil yang signifikan.

 

“Sepanjang 2025, agensi penguat kuasa telah menjalankan tugas yang luar biasa. Perdana Menteri mengumumkan bahawa usaha ini telah menjimatkan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Salem menyatakan peruntukan RM700 juta untuk memperkukuh penguatkuasaan baru-baru ini juga membuktikan kesan positif tindakan berterusan kerajaan.

 

BAT Malaysia, katanya, komited menyokong langkah kerajaan mengekang pasaran gelap tembakau yang telah lama menjadi cabaran utama industri. - DagangNews.com