Eric See-To pertikai prestasi dividen ASB pada 2025 gagal kembali ke paras tertinggi sebelum 2018 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eric See-To pertikai prestasi dividen ASB pada 2025 gagal kembali ke paras tertinggi sebelum 2018

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Dis – Penganalisis, Eric See To mempersoalkan prestasi dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 2025 yang menurutnya masih gagal kembali ke paras tertinggi era terdahulu.


Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional itu mendakwa, meskipun kerajaan kini memerintah beberapa tahun, kadar 5.20 sen dengan bonus 0.55 sen, disifatkannya sebagai rendah.


Menerusi hantaran di akaun Facebooknya, beliau merujuk pengumuman Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini berhubung pengagihan pendapatan skim itu yang melibatkan 11.4 juta pemegang unit.


"Ini sebenarnya lebih rendah berbanding pada 2024 iaitu 5.50 sen dengan bonus 0.25 sen. Secara keseluruhan, masih jauh berbanding 7.0 sen pada 2018 dan 8.25 sen pada 2017," jelas Eric.


Justeru, beliau menyifatkan keadaan prestasi tersebut sebagai ironi memandangkan dakwaan sebelum ini konon negara hampir bankrap pada era pentadbiran terdahulu, tetapi dividennya lebih tinggi.


Selain itu, beliau menilai kadar pertumbuhan aset Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang didakwanya semakin perlahan, berdasarkan angka data dikongsikannya sendiri melibatkan empat tahun berbeza.

 

Artikel berkaitan: Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit, bayaran RM10.4 bilion tertinggi sejak penubuhan

ASB Dividen


Kata Eric, jumlah aset PNB meningkat daripada RM120 bilion (2008) kepada RM279 bilion (2017), sebelum berkembang sedikit kepada RM342 bilion (2022) dan terbaharu sebanyak RM364 bilion (2025).


“Dari 2008 hingga 2017, ia berkembang pada kadar purata 14.7% setahun, sebelum menurun kepada 4.5% dari 2017 hingga 2022, dan merosot lagi kepada hanya 2.1% dari 2022 hingga 2025," tambah beliau.


Justeru, beliau turut mempersoalkan sama ada masalah kelembapan tersebut berpunca daripada isu kekangan lebihan pendapatan rakyat untuk menabung, khususnya dalam tempoh pentadbiran semasa.


Beliau juga mengimbau kritikan keras pembangkang terhadap dividen ASB pada 2016 sebanyak 7.25 sen, yang ketika itu konon disifatkan sebagai terlalu rendah dan dikaitkan dengan dakwaan salah urus.


Sebaliknya jelas Eric, kadar dividen semasa pula masih belum pun menyamai paras yang pernah dikritik oleh pihak tersebut selepas tiga tahun pentadbiran baharu dan juga jauh daripada 7.25 sen.


Dalam hantaran berkenaan, beliau turut melampirkan carta perbandingan kadar dividen ASB sejak 2009 sehingga 2025 yang menunjukkan kejatuhan ketara bermula pada 2018. - DagangNews.com