Carimin Petroleum peroleh tender ganti paip PETRONAS Gas di Putra Heights bernilai RM33.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carimin Petroleum peroleh tender ganti paip PETRONAS Gas di Putra Heights bernilai RM33.9 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisCarimin Petroleum Berhad menerima tender PETRONAS Gas Berhad yang melibatkan kerja penggantian saluran paip kekal di kawasan Putra Heights, Selangor bernilai RM33.98 juta.


Kumpulan kejuruteraan sektor minyak dan gas (O&G) itu berkata, surat penganugerahan (LOA) diterima melalui anak syarikatnya, Carimin Engineering Services Sdn Bhd (CESSB) pada 5 Disember 2025. 


Tambah syarikat yang ditubuhkan pada 2001 dan beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor itu, kontrak tersebut meliputi aspek penyediaan perkhidmatan perolehan, pembinaan dan pengujian (PCC).


"Kerja akan bermula daripada tarikh berkuat kuasa LOA sehingga siap, dengan projek ini dijangka menyumbang secara positif sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Insiden letupan paip gas di Putra Height berlaku pada 1 April 2025 mengakibatkan sekurang-kurangnya 8,000 premis kediaman dan komersial, serta 300 kilang, dilaporkan terjejas bekalan gas. 

 

PETRONAS Gas, yang ditubuhkan pada 1983, beroperasi dalam pemprosesan gas asli dan pengedaran utiliti industri, dengan pejabat berdaftar di Tower 1, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.


Lembaga Pengarah Carimin menegaskan, LOA ini adalah dalam urusan perniagaan biasa kumpulan dan tidak pun memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan lain.


"Selain itu, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan syarikat yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam LOA ini," tambah kumpulan berkenaan.


Ia yakin projek ini akan memberi impak positif terhadap pendapatan syarikat, sementara risiko yang terlibat adalah risiko operasi biasa selaras dengan projek-projek terdahulu kumpulan. - DagangNews.com