KUALA LUMPUR 25 Nov – SP Setia Bhd mengumumkan pelantikan AEON STYLE Supermarket sebagai penyewa utama bagi Setia EcoHill Mall di Semenyih yang akan menjadi satu lagi tarikan komersial di kawasan berkenaan.
Pasar raya premium itu akan mengambil ruang seluas 20,408 kaki persegi dan dijadual dibuka kepada orang ramai pada 12 Disember 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, penambahan AEON STYLE Supermarket itu bakal meningkatkan daya tarikan Setia EcoHill sebagai sebuah bandar raya mampan yang semakin berkembang.
“Kami gembira menyambut kehadiran AEON STYLE Supermarket sebagai penyewa utama. Kehadiran pasar raya premium ini dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti Setia EcoHill serta menarik pengunjung dari kawasan Semenyih dan Bangi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setia EcoHill Mall yang berkeluasan 280,000 kaki persegi kini menempatkan pelbagai penyewa utama seperti Sushi King, Eco-Shop, Kizsports & Gym, Watsons, Caring Pharmacy, F.O.S, Machines, MR. TOY, Samsung, Xiaomi, The Chicken Rice Shop, Texas Chicken dan The Coffee Bean & Tea Leaf.
Selain AEON STYLE, Anytime Fitness turut dijangka mula beroperasi pada Disember 2025, sekali gus menambah rangkaian pilihan gaya hidup kepada komuniti sekitar.

Pasar raya itu menyediakan lebih 2,000 petak parkir dan digabungkan dengan pembangunan komersial Setia EcoHill Walk serta Setia EcoHill Taipan yang menjadikan kawasan itu sebahagian hab gaya hidup utama di Semenyih.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd, Naoya Okada berkata, pihaknya teruja untuk memperluas jenama AEON STYLE ke dalam persekitaran komuniti yang sedang berkembang pesat.
“AEON STYLE Supermarket membawa konsep premium dengan memfokuskan kepada pengalaman membeli-belah yang lebih moden, luas dan mesra pelanggan.
“Setia EcoHill adalah lokasi ideal untuk kami berkembang bersama komuniti yang dinamik ini,” katanya.
AEON STYLE merupakan konsep pasar raya premium pertama di Malaysia, menawarkan rangkaian lebih luas produk segar, barangan import, produk Jepun dan barangan organik. - DagangNews.com








