IPOH 10 Nov - Seramai 40.5 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan tren KTM Komuter Utara sepanjang tahun ini dan angka tersebut dijangka meningkat semasa Tahun Melawat Malaysia 2026.
Perkhidmatan KTM Komuter Utara yang kini meliputi laluan Padang Besar ke Ipoh telah mencatat peningkatan ketara kepada lebih 24,000 penumpang sehari, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti umum.
Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian pula sebanyak RM3 juta telah dibelanjakan sepanjang tahun ini untuk melaksanakan pelbagai kempen dan promosi.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB (menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, perbelanjaan ini memberi pulangan apabila pihaknya dapat meningkatkan mesej dan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Menurut beliau, pelaksanaan promosi tersebut menerusi pelbagai cara termasuk kempen-kempen bercorak interaktif yang menepati gaya hidup masa kini.
“Semasa diperkenalkan pada 2015 tren KTM Komuter Utara hanya mencatat 500 penumpang sehari.
“Perkhidmatan tren KTM Komuter Utara kini menjadi mod pengangkutan pilihan pengguna termasuk golongan pekerja yang menghubungkan bandar-bandar utama di bahagian utara.
“Kita menjangkakan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu akan bertambah pada tahun hadapan berikutan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kad Komuter Link (KOMLINK) Edisi Khas KTM Komuter x Bichi Mao serta kempen ‘Kom-Mao-Ter Challenge’ di Stesen KTMB Ipoh di sini.


Hadir sama Pengerusi Tourism Perak Management Berhad, Dato’ Mohd Kamil Dato’ Shafie bersama pengasas Niko Studio Sdn. Bhd (Bichi Mao), Olive Yong.
Dalam kempen ini, KTMB memperkenalkan tren bertemakan Bichi Mao lengkap dengan rekaan pembalut khas (train wrap) di laluan utara.
Ia menampilkan grafik comel dan penuh warna yang pasti menarik perhatian penumpang dan pengunjung di stesen.
Menurut Ahmad Nizam, untuk menjayakan kempen ini, KTMB berkolaborasi dengan Niko Studio Sdn. Bhd., pencipta watak popular Bichi Mao bagi membawa pengalaman perjalanan yang lebih ceria dan mesra keluarga kepada pengguna KTM Komuter Utara.
“Pelanggan boleh menyertai cabaran sehingga 31 Januari 2026 dengan membeli Kad KOMLINK edisi khas Bichi Mao berharga RM30.30 dan mengumpul cop setem di 8 stesen terpilih menggunakan buku pasport cabaran.

“Antaranya stesen Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Butterworth.
“Peserta yang melengkapkan semua cop setem bakal menerima plushie edisi terhad yang didatangkan dalam konsep blind box, menjadikan pengalaman ini lebih menyeronokkan dan eksklusif,” ujarnya.
Inisiatif ini juga sebagai salah satu kempen awal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai sokongan KTMB dalam mempergiat pelancongan domestik dan antarabangsa. - DagangNews.com








