Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis - Pickupp, syarikat teknologi pemulaan Asia yang mentakrifkan semula logistik, berjaya meraih AS$37 juta (RM156.2 juta) dalam pembiayaan Siri B.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pickupp, Crystal Pang berkata, pembiayaan itu akan digunakan untuk memperkukuhkan kehadiran Pickupp di pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Dana itu juga katanya akan digunakan mengukuhkan infrastruktur rangkaian logistik serantau Pickupp supaya syarikat berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendorong pertumbuhan berterusan dalam perdagangan Pantas dan e-dagang.
"Pusingan pembiayaan ini merupakan peristiwa penting bagi pasaran Malaysia, dan kami gembira mendapat sokongan padu daripada pelabur di seluruh rantau Asia Tenggara.
"Kami melihat pertumbuhan strategik yang luar biasa merentas industri, kerana perniagaan di Malaysia menerima dan meneroka model e-dagang yang inovatif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pembiayaan siri B tersebut merupakan kutipan dana ketiga Pickupp dalam tempoh kurang daripada 13 bulan, berikutan pusingan awal Siri A pada November 2020, dan pusingan Siri A+ pada Julai 2021.
Katanya, secara keseluruhan, syarikat telah mengumpul AS$52 juta (RM220 juta) melalui pusingan pembiayaan.
"Sebagai sebahagian daripada proses pengukuhan syarikat, Pickupp merancang untuk mengembangkan kedudukannya di Malaysia dengan liputan seluruh negara dan rangkaian tempat mengambil dan menghantar sendiri, sekali gus menyediakan pelanggan dengan kebolehcapaian, fleksibiliti dan kemudahan yang lebih besar.
"Pickupp telah pun mempunyai kehadiran operasi di Lembah Klang sejak 2018 dengan pengembangan baru-baru ini dengan hab serantau ke Pulau Pinang pada September dan Johor pada Disember.
"Syarikat menyasarkan untuk mengembangkan kehadirannya di Melaka dan Ipoh pada 2022," katanya. -DagangNews.com








