Petronas, METI, Jogmec perkukuh kerjasama pengangkutan karbon dioksida rentas sempadan bagi projek CCS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas, METI, Jogmec perkukuh kerjasama pengangkutan karbon dioksida rentas sempadan bagi projek CCS

(Dari kiri) Emry Hisham Yusoff, Yoshida Nobuhiro dan Dr Yamamoto Koji di majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Hiroshima
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Petronas memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun dan Pertubuhan Keselamatan Logam dan Tenaga Jepun (Jogmec) berhubung pengangkutan karbon dioksida (CO2) rentas sempadan daripada perniagaan kepada perniagaan untuk projek tangkapan dan penyimpanan karbon.

 

"Melalui kerjasama ini, rakan kongsi akan dapat mewujudkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai aspek penting yang berkaitan dengan daya maju rantaian nilai CCS sebagai penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dalam landskap perniagaan masing-masing,” ujar Ketua Pengurusan Karbon Petronas, Emry Hisham Yusoff.

 

Beliau telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Naib Menteri Parlimen METI, Yoshida Nobuhiro, serta Presiden Jogmec dan Naib Presiden JOGMEC Unit Perniagaan Tenaga, Dr Yamamoto Koji.

 

CCS merupakan salah satu penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan CO2 ke atmosfera dengan ketara. Bagaimanapun, memandangkan tapak penyimpanan bersesuaian tidak tersedia di semua wilayah, pengangkutan CO₂ rentas sempadan diperlukan untuk membolehkan kerjasama serantau mencapai kesan yang boleh dicapai dan ketara.

 

 

b

 

 

MoC terbabit berusaha untuk mengukuhkan kerjasama dalam projek CCS merentas sempadan antara Jepun dan Malaysia, dengan mengambil kira kepentingan bersama dalam membina rantaian nilai CCS dan model perniagaan untuk neutraliti karbon masa hadapan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, perindustrian dan sosial.

 

Di samping itu, MoC itu juga bertujuan untuk memudahkan pertukaran maklumat penting mengenai CCS antara Petronas dan industri Jepun yang berkaitan, termasuk pertukaran maklumat mengenai undang-undang dan peraturan khusus negara berhubung CCS.

 

Pihak berkenaan juga boleh meneroka CCS dan kerjasama berkaitan dengan rakan kongsi utama termasuk syarikat Jepun yang disokong oleh Jogmec.

 

Menyedari kepentingan kerjasama serantau dalam menangani perubahan iklim, Petronas berkata terus membentuk kerjasama strategik sebagai sebahagian daripada langkahnya dalam membina portfolio berdaya tahan dan mampan, sambil mempercepatkan hala tujunya, Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) 2050.  - DagangNews.com