Petronas Chemicals selesai ambil alih firma Sweden | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas Chemicals selesai ambil alih firma Sweden

Perstorp Holding AB merupakan sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka di Sweden yang didorong oleh kelestarian.

KUALA LUMPUR 12 Okt - Petronas Chemicals Group Bhd. telah menyelesaikan pengambilalihan Perstorp Holding AB (Perstorp) bernilai RM7.31 bilion, yang menyaksikan firma Sweden itu menjadi anak syarikat milik penuhnya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof bekata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi 'step-out' kumpulan dengan penjanaan platform baharu untuk pertumbuhan dalam industri kimia khusus. 

 

"Ia juga melangkaui potensi pendapatan, di mana Perstorp adalah penambahan strategik yang bersesuaian dengan nilai-nilai yang serupa dan tenaga kerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada Mei lalu, PCG menandatangani Perjanjian Pembelian Sekuriti dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang merupakan sebuah firma ekuiti swasta Eropah, untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp, sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka di Sweden yang didorong oleh kelestarian. 

 

PCG berhasrat untuk terus mengekalkan dan mengembangkan nilai Perstorp, memandangkan beberapa tahun yang mendatang akan menjadi detik penting bagi kedua-dua syarikat tersebut. 

 

Mohd. Yusri berkata, antaranya termasuklah pengembangan Perstorp di persada dunia dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Pasifik melalui pengetahuan industri PCG dan memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang besar.

 

Selain itu, katanya, PCG juga akan berusaha untuk memastikan penyelesaian projek pengembangan Perstorp mengikut jadual yang dirancang secara selamat di samping menjimatkan kos. 

 

"Perstorp mempunyai beberapa projek yang telah diatur dalam masa terdekat, termasuk pelancaran Project Air yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui pengeluaran metanol yang mampan. 

 

"Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah memilih Project Air, sebagai salah satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar, yang akan bersama-sama menerima 1.8 bilion euro," jelasnya. 

 

Project Air mendorong industri kimia untuk beralih daripada penggunaan bahan mentah fosil kepada bahan suapan yang berasaskan bio dan dikitar semula, justeru menggalakkan penggunaan produk kimia mampan kepada pelbagai industri dan produk akhir. 

 

Pada kapasiti penuh, ia mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara global dengan hampir 500,000 tan setahun berbanding paras pada hari ini, bersamaan dengan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden.

 

Menurut beliau, PCG bersedia untuk mara lebih jauh dalam agenda kelestarian dengan inisiatif Finite Material Neutral Perstorp akan menjadi pemangkin kepada projek-projek PCG ke arah aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050. -DagangNews.com