Peruntukan spektrum 4G hanya beri impak neutral kepada TM - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruntukan spektrum 4G hanya beri impak neutral kepada TM - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Feb - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Telekom Malaysia Bhd. (TM) dengan nilai wajar tidak berubah pada RM7.10 sesaham memandangkan peruntukan spektrum 4G hanya memberi impak neutral kepada kumpulan. 

 

Pada Jumaat lalu, Celcom Axiata, Maxis dan Digi Telecommunications telah menerima tawaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk peruntukan spektrum.

 

Tempoh berkuat kuasa untuk peruntukan spektrum itu bermula 1 Julai untuk tempoh 5 tahun dengan fi sekali sahaja sebanyak RM11.76 juta perlu dibayar sebelum 12 tengah hari, 14 Februari dan komponen fi tahunan ditetapkan sebanyak RM20.76 juta perlu dibayar sebelum 15 Disember setiap tahun sepanjang tempoh sah peruntukan spektrum itu.

 

Penganalisisnya, Alex Goh berkata, walaupun TM belum mengumumkan penerimaan peruntukan spektrum ini, tetapi kumpulan sudah pun mengendalikan 20MHz blok spektrum 4G yang diperoleh sebelum ini menerusi Packet One Networks (kemudiannya dijenamakan semula kepada webe dan unifi Mobile). 

 

"Walaupun jalur lebar 4G yang terdahulu berada di bawah peruntukan radas, saiz blok yang sama di bawah peruntukan spektrum menunjukkan bahawa caj tahunan tidak berubah untuk kumpulan. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan bahawa impak pendapatan akan menjadi neutral bagi TM," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut beliau, peningkatan data trafik daripada penggunaan 4G dan 5G akan mempercepatkan permintaan untuk infrastruktur gentian TM di seluruh negara, terutamanya, perkhidmatan nilai tambah melebihi rejim penetapan harga akses standard mandatori semasa. 

 

Secara keseluruhan, katanya, pelancaran 5G boleh meratakan persaingan pemain selular secara positif bagi memenuhi aspirasi quadplay TM berbanding operator yang lebih besar.

 

"Dengan mengambil kira peranan penting TM dalam inisiatif MyDigital dengan pemilikannya dalam rangkaian fiber di seluruh negara, kami menjangkakan petumbuhan pantas bagi hasil borongnya menjangkaui tahun kewangan 2021. 

 

"Pertumbuhan hasil jangka panjang TM One juga boleh dipercepatkan dengan pelantikan kumpulan itu sebagai penyedia awan tunggal Malaysia untuk data kerajaan," jelasnya. 

 

Setakat 12.08 tengah hari ini, harga saham TM susut 4 sen atau 0.74% kepada RM5.36 dengan 175,900 saham diniagakan. - DagangNews.com