KUALA LUMPUR 4 Ogos - Harga minyak sawit mentah kembali melantun daripada paras rendah RM3,677 satu tan metrik yang direkodkan pada pertengahan Julai 2022 kepada RM4,127 satu tan metrik, menjadikan purata setakat ini pada RM5,966 satu tan metrik.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei berkata, langkah Indonesia menghapuskan inventori minyak sawit mungkin akan menekan harga minyak sawit mentah dalam jangka pendek, tetapi penurunan harga komoditi itu yang teruk baru-baru ini adalah berlebihan.
Katanya, ini disebabkan prospek bekalan minyak sayuran utama masih kekal tidak menentu manakala prospek permintaan pula semakin menggalakkan.
"Ini disokong harga minyak sawit yang kompetitif, sebaran minyak sawit dan gas (POGO) yang menggalakkan dan paras inventori yang rendah dalam kalangan negara pengimport utama.
"Namun begitu, kami mengekalkan harga minyak sawit mentah bagi 2022, 2023 dan 2024 masing-masing pada RM5,500, RM4,500 dan RM3,800 satu tan metrik," katanya dalam nota kajian.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan disokong terutamanya pemulihan harga minyak sawit mentah.
Firma itu menamakan pemain industri seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd. dan IOI Corp. Bhd. sebagai pilihan utamanya bagi sektor itu dengan masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran RM26.54 dan RM4.36.
Menurut Wen Fei, syarikat perladangan dijangka merekodkan prestasi yang bercampur-campur pada suku kedua ini yang dijangka diumumkan bermula pada 17 Ogos ini.
"Syarikat huluan dengan pendedahan ketara di Malaysia berkemungkinan mencatat prestasi mendatar berturut-turut pada suku kedua ini.
"Sebaliknya, syarikat perladangan dengan pendedahan ketara kepada estet Indonesia mungkin akan mencatatkan prestasi yang lebih lemah disebabkan sekatan eksport di Indonesia," jelasnya.

Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, pengecualian levi eksport Indonesia mulai 15 Julai hingga 31 Ogos 2022 telah memberi manfaat kepada pemain minyak sawit Indonesia (harga minyak sawit mentah tempatan di Indonesia meningkat sebanyak 26% atau RM2,982 satu tan metrik dari 1 Julai kepada Rp10,025 sekilogram pada 31 Julai) dan pengguna minyak sawit (harga minyak sawit Antarabangsa jatuh 29% dalam tempoh yang sama kepada AS$1,060 satu tan metrik).
Bagaimanapun, katanya, pengeluar minyak sawit Malaysia akan menerima impak negatif memandangkan harga spot minyak sawit mentah merosot sebanyak 13% kepada RM4,197 satu tan metrik dalam tempoh yang sama.
Ini kerana, tambahnya, sebahagian daripada penjimatan cukai disalurkan kepada pengguna, menyebabkan harga lebih rendah di Malaysia.
"Oleh itu, kami menjangkakan harga minyak sawit mentah akan diniagakan dalam julat antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan metrik.
"Masalah kekurangan buruh, risiko geopolitik dan ketidaktentuan iklim dilihat akan terus menyokong harga minyak sawit mentah," katanya.
Firma itu yang mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan turut menganggarkan stok minyak sawit mentah mentah di Malaysia akan meningkat 9.8% bulan ke bulan kepada 1.82 juta pada akhir Julai disebabkan output yang lebih tinggi.
Semalam, pegawai kanan Kementerian Ekonomi Indonesia, Musdhalifah Machmud mendedahkan bahawa Indonesia menurunkan harga rujukan minyak sawit mentahnya kepada AS$872 satu tan metrik berkuat kuasa 1 hingga 15 Ogos ini.
Harga rujukan itu akan meletakkan duti eksport minyak sawit mentah untuk dua minggu pertama Ogos pada AS$33 setiap tan, manakala levi eksport dikecualikan sehingga 31 Ogos 2022.
Selain itu, Indonesia turut menaikkan obligasi pasaran domestik (DMO) dan nisbah eksport kepada 1:9 berbanding 1:7 mulai 1 Ogos ini.
"Kedua-dua faktor ini akan menyebabkan eksport minyak sawit yang lebih lemah dari Malaysia pada Ogos.
"Cukai ekport bagi minyak sawit Malaysia bagi Ogos ialah RM420.6 satu tan metrik (atau AS$94.5), adalah lebih tinggi daripada Indonesia pada AS$33 satu tan metrik, sekali gus menjadikan Malaysia kurang kompetitif berbanding Indonesia," jelasnya. - DagangNews.com








