KUALA LUMPUR 14 Nov - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 2022 kepada 8.4% berbanding anggaran 5.9% sebelum ini.
Namun, di sebalik pertumbuhan kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 yang berkembang pada purata 9.3%, agensi itu mengekalkan unjuran KDNK 2023 tidak berubah pada 4%.
Menurutnya, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dipengaruhi persekitaran monetari yang lebih lebih ketat, kesan asas semakin pudar dan permintaan terpendam serta kelembapan persekitaran global.
Ini mendorong Fitch Solutions mengekalkan pandangannya bahawa momentum pertumbuhan akan terus lemah pada suku akan datang apabila keadaan kredit semakin ketat dan permintaan terpendam semakin pudar.
"Tambahan pula, prospek bagi eksport dijangka melemah berikutan kelembapan ekonomi global dan industri semikonduktor bergerak menuju kitaran penurunan.
"Mengambil kira pertumbuhan terkini, kami menyemak semula unjuran 2022 kami kepada 8.4%, daripada 5.9% sebelumnya, tetapi mengekalkan unjuran pertumbuhan 2023 kami tidak berubah pada 4%,” katanya dalam kenyataan.

Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) Jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap.
Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9% dan lebih kukuh berbanding 5% yang dicatatkan pada suku pertama, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan itu sebanyak 9.3%.
Kali terakhir ekonomi negara ini mencatatkan pertumbuhan dua angka adalah pada suku kedua tahun lalu sebanyak 16.1%.
Menurut Fitch Solutions, prestasi ekonomi pada suku ketiga itu melepasi jangkaannya dan konsensus dipacu penggunaan dan pelaburan swasta yang kukuh, eksport dan kesan asas yang menggalakkan.
Ia menjangkakan pertumbuhan memuncak pada suku ketiga, dan meramalkan ekonomi berkembang hanya 5.8% pada suku keempat, sebelum menurun lagi kepada purata 4% pada 2023 disebabkan tiga faktor.
Pertama, katanya, rangsangan pertumbuhan daripada kesan asas dan permintaan terpendam daripada penarikan sekatan pergerakan terhadap COVID-19 dijangka semakin pudar pada suku keempat dan terutamanya menjelang 2023.
"Isi rumah dan perniagaan juga telah pun mengeluarkan simpanan mereka dengan ketara sejak April 2022, menunjukkan bahawa lonjakan permintaan agregat pada suku kedua dan ketiga tidak mungkin dapat dikekalkan.
"Terakhir sekali, terdapat kemungkinan subsidi bahan api dan makanan akan dikurangkan dalam beberapa bulan akan datang apabila kerajaan cuba untuk mengukuhkan kewangan awam, dan ini mungkin akan membebankan kuasa beli isi rumah pada masa hadapan," jelasnya.
Sehubungan itu, ia menjangkakan pertumbuhan penggunaan swasta akan perlahan dengan ketara kepada 5% pada 2023, daripada 11.5% pada 2022. - DagangNews.com








